KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Isu penolakan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) serta bantahan terhadap kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Malaysia turut diselitkan dalam himpunan solidariti Global Sumud Flotilla (GSF) di hadapan pusat beli-belah Sogo di sini pada Sabtu.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, isu berkenaan telah lama dibahaskan termasuk daripada rakan-rakan ahli politik lain.
Beliau turut berpesan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya mendengar rintihan rakyat yang mahukan keadilan dan bukannya penindasan.
"Anwar dengar sini, kami mahu keadilan yang bermakna iaitu menolak RUU URA dan perlu diingat, ini bukan perjuangan untuk satu bangsa sahaja tetapi semua rakyat di negara ini.
"Rakyat hanya mahu memperjuangkan maruah tanah air yang ditinggalkan oleh ibu bapa untuk kemudahan anak-anak namun usaha itu akhirnya diberi demi kepentingan pemaju," katanya.
Dalam himpunan bermula jam 2 petang itu, hampir 20 pemimpin dan aktivis berucap antaranya Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali; Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Ibrahim Ali dan aktivis Kampung Sungai Baru, Rafidah Ibrahim.
Majlis kemudiannya diakhiri dengan bacaan doa untuk keselamatan semua aktivis kemanusiaan terbabit.
Sebelum itu, peserta perhimpunan mula berarak ke pusat beli belah dengan melaungkan 'hidup, hidup Palestin' dan 'hancur Israel'.
Media sebelum itu melaporkan lebih 400 aktivis kemanusiaan dari 36 buah negara, termasuk 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan oleh Pasukan Pertahanan Israel (IOF) dalam satu insiden tegang di perairan antarabangsa, awal pagi Khamis.