'Keutamaan kami capai gencatan senjata segera tanpa syarat'

Iklan
Bekas Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali

 

SHAH ALAM - 20 Pelan Damai terhadap Gaza, Palestin yang didedahkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump baru-baru ini boleh menjadi titik permulaan untuk meredakan ketegangan di rantau berkenaan.

Iklan
Iklan

Bekas Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berkata, sebarang inisiatif yang bertujuan menghentikan pencerobohan perlu diberi pertimbangan serius, khususnya mengambil kira penderitaan besar ditanggung saudara sesama Islam di Gaza sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas bersama Naib Presidennya, Hussein al-Sheikh juga menyambut baik kerangka tersebut sekali gus menyifatkan ia satu pendekatan yang wajar dalam usaha menuntaskan penindasan.

Iklan

Namun, jelas Walid, perkara tersebut mesti realistik dan dapat dilaksanakan di lapangan serta-merta dengan mengutamakan bangsa Palestin yang masih berada di bawah penjajahan.

“Keutamaan kami adalah ingin mencapai gencatan senjata segera tanpa syarat, menghentikan pertumpahan darah di Semenanjung Gaza dan menamatkan pembunuhan serta pembantaian beramai-ramai dilakukan rejim Israel.

Iklan

“Ini bukan sekadar objektif strategik, tetapi keperluan moral kerana nyawa lebih dari dua juta orang awam berada dalam keadaan getir.

“Tiada cadangan diplomatik yang boleh dianggap sah jika tidak ada penguatkuasaan serta-merta dibuat,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Walid, perkara lain yang menjadi keutamaan adalah keperluan menubuhkan koridor kemanusiaan kukuh bagi meringankan penderitaan dahsyat dialami penduduk di Semenanjung Gaza.

Jelasnya, komitmen pelan itu merangkumi penghantaran bantuan tanpa sekatan seperti makanan, air, ubat-ubatan, pemulihan infrastruktur dan pembersihan runtuhan bangunan.

“Kami menegaskan supaya koridor kemanusiaan yang dilindungi dan selamat dibuka segera agar bantuan penting dapat sampai kepada mereka yang memerlukannya tanpa gangguan.

“Dengan musim sejuk yang bakal tiba tidak lama lagi, ia akan memburukkan lagi situasi dan krisis dihadapi ratusan ribu penduduk Gaza yang hilang tempat tinggal,” ujarnya.