KUALA LUMPUR – Beberapa negara seperti Australia, Seychelles, Iceland, Kazakhstan berkongsi pandangan berhubung sistem keselamatan sosial khususnya kepada kanak-kanak, keluarga serta peluang sama rata kepada semua lapisan masyarakat menerusi Forum Keselamatan Sosial Dunia (WSSF) 2025.
Forum sebegini dilihat penting dalam memastikan tiada golongan rentan tercicir daripada bantuan, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi global yang mencabar.
Pengurus Kumpulan Sistem, Strategi dan Jabatan Kanan Perkhidmatan Sosial, Australia, Jo Evans berkata, di negaranya sistem keselamatan sosial diwujudkan bagi memberikan perlindungan kepada individu yang mempunyai tanggungjawab menjaga anak, golongan kurang berkemampuan serta penganggur atau ketidakupayaan.
Menurutnya, kerajaan Australia menyediakan pencen, elaun dan faedah keluarga yang disesuaikan mengikut keperluan rakyat.
“Kami memberikan kadar bantuan lebih tinggi kepada ibu bapa tunggal dan penerima yang mempunyai anak. Sistem kami fleksibel dan boleh disesuaikan mengikut perubahan kehidupan penerima.
"Australia juga memperluaskan capaian perkhidmatan melalui lebih 300 pusat khidmat, talian bantuan 24 jam dan pusat bergerak yang menjangkau komuniti luar bandar dan pedalaman," katanya.
Beliau berkata demikian dalam forum yang bertajuk Keselamatan Sosial Untuk Kanak-Kanak, Keluarga dan Peluang Sama Rata sempena WSSF 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini pada Khamis.
Antara panel yang hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Perlindungan Sosial, Seychelles, Brenda Morin; Ketua Pengarah Tryggingastofnun rikisins, Iceland, Huld Magnúsdóttir dan Pengerusi Lembaga Dana Insurans Sosial Negara, Kazakhstan, Almas Muhametkarimovich Kurmanov.
Sesi berlangsung selama satu jam itu dikendalikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah, Tabung Kebangsaan Peruntukan Keluarga (CNAF), France, Isabelle Sancerni selaku moderator. Sementara itu, Brenda memberitahu, pelbagai bantuan sasar dan merupakan belanjawan terbesar kerajaan Seychelles.
"Seychelles turut melaksanakan pembaharuan menyeluruh bagi menyatukan pelbagai bantuan merentas kementerian untuk meningkatkan keberkesanan dan ketelusan sistem," jelasnya.
Sementara itu di Iceland, sistem perlindungan sosial berpaksikan akses sejagat yang mana setiap penduduk, tanpa mengira latar belakang atau status pekerjaan berhak mendapat perlindungan sewajarnya.
Huld menegaskan bahawa perlembagaan negara itu menjamin hak kepada bantuan sosial, terutama bagi kanak-kanak, keluarga miskin dan individu kurang upaya.
“Kami memastikan dasar kami sejajar dengan piawaian antarabangsa. Fokus kami ialah untuk membina sistem yang inklusif, telus dan dapat diakses oleh semua, termasuk melalui kerjasama dengan pertubuhan masyarakat,” ujarnya.
WSSF 2025 menjadi hab perbincangan antarabangsa mengenai perlindungan sosial anjuran Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta disokong oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).