SEPANG – Laporan mengenai pemindahan aktivis misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke penjara Israel masih belum dapat disahkan sepenuhnya, kata Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim.
Beliau berkata, setakat ini peguam yang dilantik sudah diberikan laluan untuk menjadi wakil sah dalam proses siasatan dan pengusiran ke atas aktivis Malaysia.
"Bagaimanapun 23 aktivis Malaysia yang ditahan berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Insya-ALLAH dalam sehari dua lagi kita akan dapat melihat hasil rundingan yang sedang dijalankan di peringkat tertinggi,” katanya pada sidang media di MAPIM Central Warehouse di sini pada Jumaat.
Beliau menegaskan, misi GSF adalah bersifat non-violence dengan penyertaan sepenuhnya daripada masyarakat awam tanpa sebarang senjata.
Katanya, tekanan daripada masyarakat antarabangsa turut memberi kesan sehingga Israel mula membuka ruang rundingan lebih cepat berbanding jangkaan.
Dalam masa sama, Dr Sani merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia atas sokongan berterusan melalui doa, demonstrasi dan perhimpunan solidariti.
“Namun, kita ingin ingatkan sebarang perhimpunan mestilah berlangsung secara aman tanpa provokasi kerana keseluruhannya kita adalah pendukung Gaza termasuk pihak polis, media dan seluruh rakyat,” ujarnya.
Mengulas perkembangan terkini, beliau memaklumkan kapal Summertime Jones yang membawa pemerhati telah mendarat di sebuah pelabuhan yang dirahsiakan lokasinya.
Bagaimanapun, katanya, pengesahan rasmi mengenai ketibaan mereka di daratan hanya akan dimaklumkan pada sidang media jam 9 malam ini.