Belanjawan 2026: Malaysia berpontensi jadi hab pelaburan automotif Asia Tenggara

Iklan
Menurut Carsome, Malaysia berpotensi terajui pelaburan automotif Asia Tenggara melalui Belanjawan 2026.

MALAYSIA berpotensi menjadi hab utama pelaburan dan inovasi automotif di Asia Tenggara, disokong oleh faktor infrastruktur, lokasi strategik dan dasar sokongan yang kondusif melalui Belanjawan 2026.

Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Carsome, Aaron Kee berkata, Belanjawan 2026 menawarkan peluang tepat untuk mengukuhkan kepimpinan Malaysia dalam mobiliti lestari melalui langkah mempromosikan pertumbuhan jangka panjang, kestabilan pasaran dan daya tahan ekonomi dalam sektor automotif.

Iklan
Iklan

“Memandangkan insentif cukai bagi kenderaan elektrik (EV) akan tamat tidak lama lagi, satu Pelan Jalan Automotif jangka panjang dengan penekanan pada pemerkasaan pengeluaran tempatan penting bagi menyokong pertumbuhan mampan dalam sektor automotif.

“Dengan pengecualian cukai untuk EV Completely Built Up (CBU) dijangka berakhir pada Disember 2025 manakala bagi EV Completely Knocked Down (CKD) pula pada 2027, Belanjawan 2026 membuka peluang untuk mengumumkan rangka insentif jangka panjang baharu yang mendorong pengeluaran tempatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Tambahnya, memandangkan pelaburan automotif mengambil masa lama untuk berkembang dan menampung kos modal, kepastian mengenai dasar termasuk perlakuan duti eksais selepas 2027 menjadi keutamaan.

“Perkara ini juga penting bagi mengekalkan daya saing antara import CKD dan CBU, memandangkan pengalaman serantau menunjukkan risiko apabila insentif tidak dirangka dengan teliti.

Iklan

“Contohnya, pada 2024, jualan kenderaan menurun 25 peratus di Thailand dan 13 peratus di Indonesia akibat persaingan yang tinggi,” ujarnya.

Jelas beliau, langkah bersasar yang membina keyakinan pembeli diperlukan bagi menggalakkan penggunaan EV menangani kebimbangan mengenai jarak perjalanan, kemudahan pengecasan, ketahanan produk dan nilai jualan semula.

“Prasarana pengecasan EV di Malaysia perlu diperluas selaras dengan cara hidup penduduk bandar. Namun, wujud ketidakpastian dan ketidakseragaman peraturan dalam pengurusan bangunan bertingkat terhadap kemudahan pengecasan EV.

“Kekangan praktikal ini menyebabkan sebahagian besar penduduk bandar berasa terbantut memiliki EV. Garis panduan jelas serta dasar sokongan seperti undang-undang ‘Right to Charge’ di kawasan tumpuan bandar termasuk kondominium akan membantu memastikan akses adil kepada pemilikan EV,” katanya.

Aaron berpandangan, pemberian geran atau insentif cukai kepada penyedia perkhidmatan diagnostik, baik pulih dan pembaharuan bateri EV dilihat penting bagi meningkatkan keyakinan pengguna selepas pembelian serta melindungi integriti pasaran.

“Pada masa sama, kerajaan boleh memberi penekanan terhadap pengenalan undang-undang ‘lemon law’ khusus untuk bateri EV termasuk penetapan tahap kemerosotan prestasi yang boleh diterima dalam tempoh munasabah.

“Peraturan itu bersama hukuman atau pampasan terhadap jenama yang gagal mematuhinya diyakini mampu mengurangkan kebimbangan mengenai kesihatan bateri dan jarak perjalanan,” ujarnya.

Menurut beliau, Belanjawan 2026 boleh mempertimbangkan skim pelupusan kenderaan secara berstruktur bagi menggalakkan pemilik melupuskan kereta lama dan menggantikannya dengan model baharu yang menepati piawaian keselamatan.

“Langkah itu dijangka membantu keluarga mengurangkan kos penggunaan jangka panjang, memiliki kenderaan lebih selamat selain mengurangkan kesan alam sekitar daripada sektor pengangkutan.

“Bagi memastikan dasar itu tepat sasaran, data pendaftaran kenderaan juga wajar dikategorikan mengikut julat umur. Melalui gambaran lebih jelas mengenai jumlah kereta lama di jalan raya, pembuat dasar dapat merangka intervensi yang memberi impak maksimum,” katanya.

Aaron berkata, kerajaan boleh mempertimbangkan peluasan dana latihan sedia ada seperti Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) kepada sektor automotif agar pertumbuhan pesat industri membuka peluang kepada peningkatan mobiliti sosial.

“Malaysia berpotensi untuk muncul sebagai hab pembangunan kemahiran automotif, disokong oleh pencapaian positif dalam pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) dengan kadar kebolehpasaran graduan mencecah 95.1 peratus. Pada masa sama, sektor automotif ketika ini turut menyumbang lebih 700,000 pekerjaan.

“Ribuan juruteknik baharu diperlukan dalam bidang sistem EV, diagnostik bateri dan keselamatan voltan tinggi. Permintaan ini menuntut akses lebih luas kepada latihan teknikal khususnya bagi golongan kurang bernasib baik,” ujar beliau.