SETIAP pagi, seorang peniaga nasi lemak yang sudah lebih 20 tahun berniaga bangun seawal jam 4 pagi untuk menyiapkan jualannya.
Di sebalik senyuman kepada pelanggan, fikirannya sarat dengan beban kos sewa, gaji pekerja dan sama ada pembekal masih sudi memberinya kredit lagi.
Kisah itu menggambarkan realiti ratusan ribu usahawan kecil di seluruh Malaysia yang beroperasi dengan margin keuntungan tipis.
Golongan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) inilah yang menyumbang hampir 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan hampir separuh tenaga kerja negara.
Namun, golongan ini sering berdepan cabaran mendapatkan akses kewangan kerana proses pinjaman bank tradisional yang mengambil masa, syarat ketat dan kekangan lokasi bank tradisional.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Operasi GXBank, Hildah Hamzah berkata, kehadiran bank digital mampu mengubah keadaan itu dengan menyediakan penyelesaian lebih pantas, fleksibel dan sesuai keperluan usahawan kecil.
“Dengan teknologi seperti e-KYC (kenali pelanggan anda secara elektronik), kelulusan pinjaman boleh diproses jauh lebih pantas. Penilaian kredit tidak lagi hanya bergantung kepada sejarah transaksi.
“Ia membuka pintu kepada lebih ramai usahawan yang berdaya maju. Terma pembayaran balik juga boleh disesuaikan mengikut kitaran aliran tunai per-niagaan, memberikan ruang bernafas yang amat diperlukan,” katanya.
Tambah beliau, kecerdasan buatan (AI) juga membantu memperkasakan lagi anjakan tersebut.
Menurutnya, bank digital direka berteraskan teknologi dan mereka mempunyai kelebihan untuk memanfaatkan AI bagi tujuan keselamatan lebih pintar dan kukuh.
“Teknologi ini membolehkan mereka mengesan dan memberi amaran awal terhadap corak perbelanjaan luar biasa sebelum ia menjadi lebih serius.
“Sebagai contoh, di GXBank, penggunaan AI kami untuk pengesanan penipuan telah mengurangkan masa semakan sebanyak enam kali ganda, sekali gus meningkatkan ketepatan dan konsistensi,” katanya.
Menurutnya, inovasi itu secara langsung menangani cabaran-cabaran yang telah lama dihadapi PMKS.
“Masa yang sebelum ini dihabiskan untuk urusan di bank kini boleh dilaburkan semula ke dalam perniagaan.
"Akses kepada pembiayaan juga jadi lebih mudah bagi mereka yang mempunyai rekod kredit terhad dan pengurusan kewangan kini boleh dilakukan terus daripada telefon bimbit, memberikan kawalan penuh kepada pemilik perniagaan,” katanya.
Ujarnya lagi, secara asasnya bank digital membantu meratakan padang persaingan.
Jelas beliau, dengan kos operasi lebih rendah dan teknologi canggih, ia menyediakan alat kewangan yang dahulunya hanya mampu dimiliki syarikat besar.
“Bagi PMKS yang tidak mempunyai pasukan kewangan khas, ini satu kelebihan strategik yang amat besar,” katanya.
Menurut Hildah, pandemik telah membuktikan PMKS bersedia menjadi digital dan dengan kemunculan bank digital yang direka untuk menyokong keperluan PMKS, mereka berpeluang menjadi pemacu utama ekonomi digital Malaysia.
“Langkah ke hadapan ini memerlukan kerjasama erat antara semua pihak termasuk bank digital, institusi kewangan sedia ada, kerajaan dan usahawan itu sendiri.
“Dengan bekerjasama, kita boleh memastikan generasi PMKS yang akan datang bukan sahaja mampu menyesuaikan diri dengan perubahan tetapi juga menerajuinya,” katanya.