Batik Air tambah penerbangan Johor Bahru–Sibu sempena Tahun Baharu Cina

Iklan
Anthony Loke (tiga dari kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy (empat dari kanan) pada majlis pelancaran kempen Fixed Fares for Your Reunion dan Smart Travel Fare Batik Air di Hotel Aloft Kuala Lumpur Sentral pada Selasa.

BATIK Air menyediakan perkhidmatan penerbangan tidak berjadual bagi laluan Johor Bahru ke Sibu sempena sambutan Tahun Baharu Cina, berikutan peningkatan permintaan penumpang khususnya membabitkan perjalanan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, permintaan tinggi ke Sibu berpunca daripada kedudukan bandar itu sebagai pintu masuk utama ke kawasan tengah Sarawak seperti Sarikei sekali gus menjadikannya destinasi tumpuan setiap kali musim perayaan.

Iklan
Iklan

“Bagi musim perayaan ini, antara laluan yang mencatat permintaan paling tinggi ialah Johor Bahru ke Sibu.

“Justeru, Batik Air telah menambah beberapa penerbangan tambahan selama tiga hari bagi laluan tersebut walaupun ia bukan laluan berjadual biasa,” katanya pada sidang akhbar pelancaran kempen ‘Fixed Fares for Your Reunion’ dan Smart Travel Fare Batik Air pada Selasa.

Iklan

Selain penambahan penerbangan, Batik Air turut melancarkan kempen Fixed Fares for Your Reunion dengan menawarkan tambang tetap khusus bagi laluan Kuala Lumpur ke Kuching bermula RM318 sehala, sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Bagi laluan Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, tambang sehala ditawarkan bermula RM378, dengan tempoh tempahan dibuka sehingga 13 Februari 2026 dan perjalanan ditetapkan antara 13 hingga 16 Februari 2026.

Iklan

Batik Air memperkenalkan kempen Fixed Fares for Your Reunion serta menyediakan penerbangan tambahan di beberapa laluan domestik bagi menampung peningkatan permintaan penumpang sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Dalam masa sama, Batik Air turut menyediakan penerbangan tambahan dari Johor Bahru ke Pulau Pinang (12 hingga 14 Februari 2026) serta ke Sibu (13 hingga 15 Februari 2026) bagi menampung permintaan tinggi sepanjang musim perayaan.

Pendekatan sama akan diteruskan bagi musim perayaan lain, termasuk Hari Raya Aidilfitri, selain tawaran tambang tetap untuk laluan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu.

Menurut Anthony, inisiatif itu adalah tambahan kepada dasar kerajaan yang menetapkan harga maksimum tambang penerbangan pada RM499 sebelum cukai bagi laluan tertentu, khususnya perjalanan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak.

“Harga tiket yang mencecah RM580 atau RM600 sebelum ini termasuk cukai dan caj tambahan, manakala harga asas tetap dihadkan pada kadar maksimum RM499.

“Sekiranya tiket terpaksa dijual pada harga lebih tinggi daripada kadar maksimum, lebihan kos akan ditanggung kerajaan melalui skim subsidi yang telah dilaksanakan sejak dua tahun lalu,” jelasnya.

Tambah beliau, pendekatan itu berjaya menstabilkan harga tiket penerbangan, khususnya bagi laluan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak.

“Dasar ini hanya dilaksanakan tiga hari sebelum musim perayaan kerana tempoh tersebut merupakan waktu puncak.

“Hasil intervensi ini, kita tidak lagi melihat harga tiket melonjak sehingga melebihi RM1,000 seperti yang pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy, berkata kempen Fixed Fares for Your Reunion dan program Batik Student Fare diperkenalkan sebagai respons terhadap cabaran sebenar yang dihadapi penumpang ketika musim perayaan.

“Ketika musim perayaan, permintaan perjalanan meningkat dengan ketara, menyebabkan harga tambang berubah-ubah dan tempat duduk menjadi terhad.

“Melalui kempen ini, kami mahu memastikan kepastian harga supaya penumpang dapat merancang perjalanan dengan lebih tenang,” ujarnya.

Beliau berkata, sebagai pelengkap kepada inisiatif kerajaan seperti FlySiswa, Batik Air turut memperkenalkan program Batik Student Fare yang mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat terhadap pendidikan dan mobiliti.

“Program ini bukan sekadar menawarkan diskaun biasa, sebaliknya menyediakan manfaat komprehensif kepada pelajar termasuk potongan sehingga 30 peratus bagi tambang penerbangan sepanjang tahun untuk kategori tambang terpilih.

“Selain itu, peserta program turut menikmati kelebihan elaun bagasi yang lebih tinggi, fleksibiliti perubahan tarikh penerbangan, ganjaran khas untuk ahli keluarga dan rakan serta penjimatan kos penghantaran kargo,” jelasnya.

Tambahnya, program berkenaan direka supaya mudah diakses melalui pendaftaran atas talian dan terbuka bukan sahaja kepada pelajar tempatan malah pelajar antarabangsa, pensyarah serta warga komuniti kampus.

“Melangkah ke hadapan, Batik Air terus komited untuk memperluaskan rangkaian penerbangan, mengukuhkan kesalinghubungan serantau serta memastikan pertumbuhan yang mampan dan bertanggungjawab.

“Tahun 2026 bakal menjadi tahun penting buat Batik Air dengan pelbagai laluan baharu, inisiatif strategik dan kerjasama lebih erat bersama kerajaan. Kami kekal beriltizam untuk menyokong aspirasi Malaysia dalam sektor penerbangan dan pelancongan demi manfaat rakyat,” katanya.