KUALA LUMPUR - Industri fesyen tempatan berpotensi besar untuk berkembang pesat dan menembusi pasaran lebih luas termasuk antarabangsa, sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, beberapa dapatan antarabangsa dan tempatan menunjukkan asas perkembangan industri fesyen serta tekstil di Malaysia cukup membanggakan.
“Kajian oleh Shopperboard yang dikeluarkan pada Mei 2025 menganggarkan penembusan industri fesyen dalam urus niaga e-dagang di Malaysia mencecah kadar 19.2 peratus dengan nilai jualan AS$5.24 bilion (sekitar RM22.04 bilion) bagi tahun 2025.
“Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menganggarkan potensi industri tekstil dan pakaian sekitar AS$3.5 bilion (sekitar RM14.72 bilion) setahun dan akan terus berkembang kepada AS$4.47 bilion (RM18.80 bilion) menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian My Gaya Month 2025 (MGM 2025) di Pavilion Bukit Jalil, di sini pada Khamis.
Justeru, Armizan menyifatkan MGM 2025 sebagai platform penting untuk mengetengahkan kreativiti pereka tempatan, sekali gus memperkukuh ekosistem industri fesyen ke tahap yang lebih berdaya saing.
Beliau berkata, penganjuran program tersebut merupakan manifestasi komitmen kerajaan, Persatuan Pereka Bumiputera Malaysia (MBDA) dan pihak berkepentingan dalam mengembangkan kreativiti, inovasi dan identiti industri fesyen negara.
Tambahnya, penganjuran program itu mencatat nilai jualan sebanyak RM1.1 juta pada 2024, iaitu peningkatan 39.16 peratus berbanding RM802,000 pada tahun sebelumnya.
Beliau turut menegaskan komitmen untuk memperkukuh daya saing industri tempatan melalui penganjuran MGM 2025.
“Penganjuran MGM 2025 ini merupakan kerjasama strategik KPDN bersama MBDA dan merupakan salah satu program di bawah Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2025 yang memberi fokus kepada segmen fesyen dan gaya hidup,” katanya lagi.
Armizan berkata, komitmen KPDN adalah memastikan potensi tersebut dapat dicapai melalui kerjasama dengan pelbagai pihak, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan.
Dalam pada itu, beliau mengajak rakyat Malaysia hadir memeriahkan MGM 2025 sebagai tanda sokongan kepada pereka tempatan.
Ujarnya lagi, penglibatan semua pihak penting dalam mempromosi barangan dan melonjakkan industri tempatan, sekali gus memperkukuh identiti Malaysia di persada dunia.
Sebagai contoh, menurut beliau, Tahun Melawat Malaysia 2026 boleh menjadi platform penting untuk memperkenalkan jenama tempatan ke peringkat antarabangsa melalui pelbagai program dan pameran yang dirancang.
Sementara itu, Pengerusi MBDA, Bon Zainal Harun berkata, MGM 2025 bukan sekadar acara fesyen dan gaya hidup, sebaliknya platform untuk menghubungkan institusi akademik, usahawan dan masyarakat sambil menjulang identiti Malaysia, inovasi serta agenda kelestarian.
Menurutnya, MGM 2025 menjadi bukti komitmen MBDA dalam memperkasakan pereka tempatan, memartabatkan Malaysia sebagai hab fesyen dan kreativiti serantau serta menyokong aspirasi nasional KBBM.
Dengan mengetengahkan tema #GayaInspirasi, acara tahunan yang meraikan fesyen, budaya dan keusahawanan itu melibatkan penyertaan lebih 40 jenama tempatan dan 10 institusi akademik.
Antara aktiviti menarik ialah pertunjukan fesyen, forum industri, persembahan budaya serta pameran pavilion promosi produk asli dan buatan Malaysia.