[VIDEO] Penduduk Kampung Sungai Baru gagal tangguh kosongkan rumah

Iklan

KUALA LUMPUR – Seramai 23 penduduk rumah teres di Kampung Sungai Baru gagal dalam rayuannya pada Jumaat, untuk mengetepikan keputusan di Mahkamah Tinggi di sini bagi menangguhkan perintah pengosongan kediaman, 15 Julai lalu.

Peguam, Datuk Rosal Azimin Ahmad yang mewakili penduduk itu berkata demikian selepas prosiding yang dibuat secara dalam kamar Hakim, Su Tiang Joo.

Iklan
Iklan

Rosal berkata, mahkamah mendapati pelaksanaan pengosongan atau pengungsian kawasan yang menjadi pertikaian, telah pun dijalankan.

Beliau berkata, penduduk diberikan peluang untuk menulis surat kepada peguam pemaju supaya dibenarkan masuk untuk mengambil barang-barang di kediaman tersebut.

Iklan

“Rayuan penduduk ialah membabitkan writ pemilikan, antara lainnya berkenaan dengan arahan pengosongan, namun sebelum ini tidak dinyatakan langsung mengenai jentolak.

“Mahkamah menolak permohonan kami dengan kos sebanyak RM10,000, namun setelah berbincang, kami akan merayu di Mahkamah Rayuan di Putrajaya dalam masa terdekat,” katanya yang hadir bersama seorang lagi peguam, Azura Mokhtar.

Iklan

Rosal berkata, rayuan akan difailkan dalam tempoh yang dibenarkan undang-undang, iaitu 30 hari.

Dalam notis rayuan terbabit, pemilik kediaman berkenaan merayu terhadap keputusan mahkamah yang mengeluarkan writ milikan kosong kepada KL City Gateway Sdn Bhd (sebelum ini dikenali sebagai Ritzy Gloss Sdn Bhd) pada 4 Jun lalu dan pelaksanaan writ terbabit pada 15 Julai lalu.

Pada 11 September lalu, suasana tegang tercetus di Kampung Sungai Baru, di sini, selepas beberapa penduduk yang berdepan tindakan pengusiran enggan berpindah dari kediaman masing-masing.

Pelakon dan aktivis, Rafidah Ibrahim (kanan) turut hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat bagi prosiding kes berkaitan pertikaian milikan tanah di Kampung Sungai Baru. Foto Sinar Harian

Keadaan semakin kecoh apabila Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman cedera ketika cuba menyuraikan orang ramai yang cuba masuk ke kawasan itu untuk melakukan protes membantah pemotongan bekalan elektrik.

Sebelum itu, sekumpulan penduduk cuba merempuh masuk halangan anggota polis yang bertugas dalam operasi terbabit.

Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru berkenaan ialah membabitkan 67 rumah teres dan 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru, dengan proses pengambilan tanah bermula sejak 2016.