Penduduk Klang trauma banjir, SELCAT buka pendengaran awam 15 Oktober

Iklan
Lau Weng San

SHAH ALAM – Trauma penduduk Klang akibat banjir berulang saban kali hujan lebat memaksa Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) Dewan Undangan Negeri Selangor mengadakan pendengaran awam khas pada 15 Oktober ini.

Sesi yang dijadualkan berlangsung dari jam 10 pagi hingga 5 petang di Bilik Gerakan, Tingkat 2, Wisma Dewan Negeri Selangor itu bakal meneliti secara mendalam punca sebenar banjir serta kegagalan usaha pencegahan sebelum ini.

Iklan
Iklan

Speaker Dewan Negeri Selangor merangkap Pengerusi SELCAT, Lau Weng San berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa siri bencana banjir besar yang melanda Klang tahun ini sehingga menimbulkan keresahan penduduk.

“Pendengaran ini diadakan kerana hasrat penduduk Klang yang trauma dengan masalah banjir berulang setiap kali hujan lebat. Kebimbangan mendalam ini memerlukan perhatian serius dan tindakan bersepadu daripada semua pihak berkuasa berkaitan,” ujarnya ketika ditemui pemberita di Wisma Dewan Negeri Selangor di sini pada Jumaat.

Iklan

Menurut beliau, pendengaran awam itu akan memberi tumpuan kepada tiga perkara utama iaitu peranan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Klang dalam menangani banjir, strategi jangka panjang kerajaan negeri serta penglibatan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Klang termasuk pengurusan pusat pemindahan sementara (PPS) dan kesiapsiagaan bencana.

Bagi menjawab persoalan itu, lima saksi utama akan dipanggil memberi keterangan di hadapan jawatankuasa iaitu Pegawai Daerah PTD Klang, Amri Ismail; Pengarah JPS Selangor, Datuk Mohd Nazri Yasmin; Jurutera JPS Klang, Mohamad Hafiz Hassan; Pengarah Perancangan Bandar Jabatan Perancang Bandar MBDK, Yusrina Mohamad Yusof dan Timbalan Pengarah Kejuruteraan MBDK, Mohd Zaidi Zainal.

Iklan

Orang awam dan pihak media turut dijemput mengikuti siaran langsung perjalanan pendengaran awam itu melalui saluran Media Selangor.