KUALA LUMPUR - Sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini disambut dalam suasana suram dan penuh kekecewaan oleh penduduk Kampung Papan, Pandamaran Klang apabila rumah mereka dirobohkan pihak pemaju pada November tahun lalu.
Penduduk, Tioh Ah Guat, 63, berkata, kejadian itu bukan saja menyebabkan kerugian besar, malah meranapkan semangat penduduk untuk menyambut perayaan yang sepatutnya diraikan bersama keluarga.
"Setiap tahun waktu ini kami sibuk bersihkan rumah, pasang hiasan dan buat persiapan untuk kumpul bersama keluarga, tetapi kali ini semuanya hilang dalam sekelip mata.
"Saya tak sangka Tahun Baharu Cina kali ini terpaksa dilalui dalam keadaan sedih tanpa sebarang persiapan," katanya semasa sidang media khas penduduk Kampung Papan, Pandamaran Klang di Kuala Lumpur & Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH), di sini pada Jumaat.
Menurutnya, penduduk hanya menuntut janji daripada kerajaan Selangor menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada 28 Februari 2018.
"Namun, sehingga kini tiada sebarang perkembangan atau jawapan rasmi diterima daripada kerajaan Selangor dan pemaju.
"Kami sudah buat banyak protes, laporan polis dan penyerahan memorandum, tapi semuanya senyap," tambahnya.
Ah Guat berkata, sehingga kini penduduk tidak menerima sebarang pampasan kewangan atau rumah ganti menyebabkan mereka terpaksa menumpang di rumah anak-anak, saudara-mara dan dalam bilik sempit berkeluasan hanya 8X8 kaki persegi yang dibina secara gotong-royong penduduk dan aktivis masyarakat.
Menurutnya, ketika ini hanya sembilan bilik sementara didirikan dan semuanya penuh didiami penduduk yang terjejas.
Katanya, walaupun ada wakil kerajaan datang melawat kawasan terbabit, namun sehingga kini tiada penyelesaian konkrit diberikan kepada penduduk.
"Kami hanya mahu kerajaan Selangor tunaikan janji dan selesaikan masalah ini secepat mungkin," tambahnya.
Sementara itu, Penyelaras Gabungan Marhaen, S Arutchelvan atau Arul berkata, perobohan membabitkan 29 rumah penduduk pada 10 hingga 14 November tahun lalu itu dibuat tanpa sebarang rundingan atau tawaran penyelesaian daripada kerajaan Selangor.
"Kerajaan negeri tidak pernah sekalipun memanggil penduduk untuk berbincang mengenai rumah ganti atau penyelesaian selepas perobohan.
"Semua yang diperkatakan hanya melalui kenyataan media, tetapi di lapangan tiada tindakan sebenar," jelasnya.
Arul berkata, akibat ketiadaan penyelesaian, penduduk terpaksa bertindak sendiri dengan membina penempatan sementara iaitu deretan bilik kecil di kawasan itu khususnya bagi mereka yang tidak mempunyai keluarga untuk menumpang.
"Penduduk bersama aktivis membina rumah sementara berhampiran tapak kampung dalam keadaan serba kekurangan," tambahnya.
Sinar Harian pada 1 Januari lalu melaporkan, sembilan penduduk Kampung Papan terpaksa memilih untuk tinggal dalam bilik sempit berkeluasan hanya 8X8 kaki persegi sebagai tanda protes selepas kediaman mereka dirobohkan pihak pemaju pada November tahun lalu.
Keadaan itu memaksa penduduk terbabit membina deretan sembilan unit menggunakan dinding papan lapis hasil gotong-royong sebagai tempat berteduh.
Pada 23 Oktober tahun lalu, kira-kira 500 penduduk kampung itu mendesak campur tangan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berhubung notis mahkamah yang memaklumkan rumah mereka bakal dirobohkan.
Rata-rata penduduk yang mula meneroka kawasan itu sejak 50 tahun lalu terkejut menerima arahan pengusiran yang disifatkan terlalu mengejut.