SEJAK awal kemerdekaan lagi, para bapa pengasas (founding fathers) Malaysia telah menetapkan bentuk negara ini menuruti sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.
Pilihan raya terawal dalam sejarah negara ini berlangsung pada tahun 1955 yang menyaksikan pertembungan pelbagai penjuru antara Parti Perikatan, Parti Negara, Parti Islam Se-Tanah Melayu (Pas), dan selainnya di mana kemenangan besar diperolehi oleh Parti Perikatan, satu gabungan parti politik antara UMNO, MCA, dan MIC.
Walaupun peristiwa ini sudah berlaku 70 tahun yang lalu sementelahan parti politik sentiasa muncul dan bubar bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, UMNO, MCA, MIC, dan Pas masih lagi bertapak kukuh dalam arena politik negara.
Pun begitu, satu perkara yang mengesalkan adalah ketiadaan penulisan yang memerihalkan sejarah perjalanan parti-parti tersebut secara komprehensif dan ilmiah.
Jika parti yang sudah bertapak kukuh pun tiada sebarang penulisan bagi memerikan sejarahnya, apatah lagi parti-parti baharu seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan lain-lain.
Justeru, kebanyakan maklumat berkenaan mereka berselerakan akibat jurang keilmiahan (knowledge gap) ini yang memungkinkan kepada penularan maklumat yang salah (misinformation) dan kesalahan maklumat (disinformation).
Persoalannya, wajarkah kita mengetahui aspek kesejarahan mereka? Tatkala politik diwacanakan dalam ruang awam pada kala sekarang, perbicaraannya sering mengakar kepada persoalan di sini-kini (here-and-now) dan jarang sekali wujud usaha untuk melihatnya daripada perspektif kesejarahan.
Mungkinlah ramai yang berpendapat bahawa mengetahui fakta-fakta sejarahnya tidak mempunayi sebarang pemberat dalam membuat keputusan untuk membuang undi.
Saya tidak bersetuju. Dengan mengetahui sejarahnya, kita dapat menilai ketekalan parti-parti tersebut dalam memperjuangkan nasib agama, bangsa, dan negara di samping mengetahui perkembangan dasar-dasar yang digagaskan oleh mereka.
Penilaian ini boleh membantu kita untuk mengunjurkan ramalan atau jangkaan orientasi pemerintahan mereka seandainya diberi peluang untuk memegang tampuk kekuasaan kelak.
Jurang keilmiahan ini diisi dengan penerbitan ‘Warisan Perjuangan 70 Muktamar Pas’, sebagai satu bentuk 'biografi' Parti Islam Se-Malaysia (Pas), yang tidak dicari gali daripada orang pentingnya, tetapi catatan-catatan yang terkandung dalam lembaran sejarahnya, sebagaimana yang dimanifestasi tatkala muktamarnya berlangsung jaya.
Seeloknya saya memulakan dahulu konteks permusafiran menelusuri buku ini, walaupun saya belum berjaya mengkhatamkannya dari kulit ke kulit.
Beberapa hari yang lalu, saya terbaca satu hantaran di Facebook yang ditulis oleh Dr. Kamarul Zaman Yusoff, pensyarah yang pernah mengajar saya subjek 'State, Politics, and Society' kala semester akhir dua tahun lalu, yang meluncurkan buku ini ketika Muktamar Pas yang ke-70 di Kedah beberapa minggu lalu.
Memanglah saya, sebagai pencinta merangkap penelaah sejarah politik dan sejarah perundangan negara, tertarik dengan buku tersebut yang bagi saya julung-julung kali diterbitkan.
Maklum bahawa YB Tuan Guru Haji Hadi, banyak menulis buku, begitu juga ahli politik Pas yang lain. Tetapi, jarang sekali saya melihat sebarang buku yang membicarakan parti ini daripada perspektifnya sendiri.
Selalunya buku yang membicarakan Pas sebagai mauduknya ditulis oleh pihak lawan. Inilah yang menyalakan hasrat saya untuk memiliki buku tersebut.
Pada awalnya, saya menjangkakan buku ini hanyalah sekadar himpunan minit mesyuarat Muktamar Pas selama 70 tahun. Sangkaan saya jauh meleset.
Buku ini bukan sahaja menghimpunkan perkara tersebut, malah turut memuatkan komentar yang diberikan sendiri oleh penulis, Dr. Kamarul Zaman bin Haji Yusoff, mengenai hal tersebut.
Buku ini ditulis dengan begitu komprehensif, cukup lengkap dengan data-data primer, termasuklah usul-usul ketika muktamar tersebut, rekod menang/kalah PAS ketika pilihanraya, dan selainnya.
Bukan sahaja perkara tersebut dibincangkan dengan agak rinci, bahkan turut memuatkan kata pengantar yang daripada YB Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, YB Tuan Ibrahim Tuan Man, YB Idris Ahmad, satu esei oleh Datuk Prof. Mohamad Abu Bakar, dan satu esei oleh Dr. Mohamad Khalil Abdul Hadi.
Kehadiran penulisan-penulisan tambahan tersebut menambahkan rencah dan perasa kepada buku ini di samping gaya penulisan penulis yang berpuitika dalam menyampaikan fakta-fakta sejarah yang ‘kering kontang’.
Barangkali, satu perkara yang sedikit menghampakan adalah ketiadaan analisis penulis mengenai falsafah politik Pas, prospek masa hadapannya, kemandiriannya, dan lain-lain perkara yang sepatutnya boleh dikupas memandangkan penulis sendiri pun banyak menelaah penulisan ahli falsafah politik semisal Max Weber, Amartya Sen, dan selainnya.
Menurut penulis, sebagaimana terpapar dalam ruangan Pengenalan, analisis tersebut akan dimuatkan pada cetakan kedua yang akan datang. Hal ini memang sungguh dinanti-nantikan.
Saya memang mengesyorkan buku ini dibeli dan ditelaah. Kehadirannya ke dalam pasaran merupakan satu usaha yang memang perlu bagi mengisi jurang keilmiahan mengenai sejarah politik negara yang dikaji menerusi sumber primer.
Namun, jurang keilmiahan ini masih lagi lebar dek kerana ketiadaan penulisan dengan mauduk yang sama membicarakan parti-parti lain.
Sepertimana yang saya sebutkan, usaha penulisan seperti ini perlu bagi melahirkan warganegara yang bermaklumat supaya mereka dapat membuat penilaian yang matang sebelum membuang undi.
Pun begitu, corak penulisan buku-buku semisal itu tidak boleh dijadikan sebagai satu bentuk propaganda yang boleh memutarbelitkan penilaian para pembaca terhadap kebenaran.
Laras, gaya, dan langgam penulisan mestilah secara ilmiah dan menuruti tatakaedah dan etika penyelidikan yang sewajarnya.
Buku yang ditulis oleh Dr. Kamarul Zaman merupakan contoh terbaik, yang boleh menebas denai-denai kejahilan ke arah pemupukan pengetahuan yang ampuh dalam diri warganegara Malaysia untuk membuat keputusan terbaik demi masa hadapan agama, bangsa, dan negara.
** Muhammad Shuib Rosli ialah graduan ijazah Sarjana Muda (Kelas Pertama, PNGK/CGPA 3.94) dalam program Sarjana Muda Falsafah, Undang-Undang dan Perniagaan dengan Kepujian dari Universiti Utara Malaysia dan penerima Anugerah Pelajaran Diraja dalam Majlis Konvokesyen Ke-37 pada 10 November 2024.