SHAH ALAM - Pembangunan bakat bukan sekadar soal kelayakan akademik atau jawatan, tetapi enjin utama kemajuan negara.
Untuk bergerak lebih jauh, Malaysia perlu beralih daripada sistem yang hanya mengeksploitasi sumber sedia ada kepada sistem yang meneroka potensi baharu.
Peralihan ini menuntut pemacuan inovasi, peningkatan keupayaan industri dan pengembangan ke segmen bernilai tinggi dalam ekonomi global.
Dalam usaha mencapai status negara perindustrian berpendapatan tinggi, persoalannya bukan sekadar jumlah pelaburan, tetapi bentuk serta nilainya yang mampu membina masa depan.
Antaranya termasuk pembangunan modal insan, yang semakin kritikal dalam era ekonomi digital dan dunia tanpa sempadan hari ini.
Sama ada dalam bidang sains, teknologi, perniagaan, seni atau perkhidmatan awam, modal insan cemerlang akan terus mencipta idea, menjana pekerjaan serta mempengaruhi dasar. Nilai ekonomi mereka terletak pada kebolehan membina, mencipta, menyembuh, menghubung dan memimpin.
Perlumbaan global mendapatkan bakat semakin sengit apabila pendigitalan dan globalisasi menghapuskan sempadan.
Bercakap pada sambutan Merdeka, Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) tahun lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menegaskan, mengekalkan aliran berterusan bakat mahir merupakan salah satu cabaran terbesar Malaysia dan ia menjadi faktor penting untuk kekal mendahului pesaing serantau serta global.
Beliau menyeru pendekatan jangka panjang bermula dari bangku sekolah dengan pendedahan kepada sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Peranan strategik Khazanah dalam memajukan Malaysia
Sebagai syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) bukan sekadar dana kekayaan negara, tetapi pelabur jangka panjang dalam modal insan.
Di bawah kerangka A Nation That Creates atau Sebuah Negara Berdaya Cipta, Khazanah meletakkan pembangunan bakat sebagai teras misinya dalam mengarusperdanakan inovasi dalam ekonomi.
Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, aset sebenar Malaysia ialah rakyatnya kerana bakat bukan hanya sumber, malah pemacu pembangunan berterusan negara.
Justeru, pendekatan Khazanah adalah berlapis dan menyeluruh dengan menyasarkan kedua-dua peringkat tertinggi dan asas piramid bakat seperti bakat bertaraf tinggi, pembelajaran berterusan, laluan kerjaya dan inklusi digital, pembangunan komuniti dan dasar.
Bakat bertaraf tinggi
Menerusi Yayasan Khazanah, dana ini menyokong pelajar cemerlang akademik dan memiliki bakat kepimpinan melalui biasiswa ke universiti terkemuka serta program latihan kepimpinan. Yayasan Khazanah telah menganugerahkan 113 biasiswa pada tahun 2024 dan 120 pada tahun 2025, menjadikan jumlah keseluruhan 1,730 biasiswa setakat ini merangkumi program Biasiswa Global Khazanah, Biasiswa Watan Khazanah dan Biasiswa Lestari Khazanah.
Ramai alumni kini memegang jawatan kanan dalam sektor awam, swasta dan masyarakat sivil seterusnya menggandakan impak melalui jaringan serta kepakaran.
Pembelajaran berterusan
Khazanah turut menekankan konsep pembelajaran sepanjang hayat dengan memberi peluang kepada kakitangan mengikuti cuti sabatikal dan penempatan sementara (secondment).
Seramai 60 kakitangan telah mendapat manfaat daripada program sabatikal selama satu hingga dua tahun untuk menyambung pengajian atau tujuan pembangunan diri.
Lebih 120 lagi menyertai secondment selama enam hingga 24 bulan di syarikat syarikat operasi Khazanah serta kementerian dan agensi kerajaan.
Langkah ini membolehkan mereka mengasah kemahiran teknikal, memperkukuh kepimpinan serta membina rangkaian baharu.
Pada masa sama, Khazanah Wolfson Press Fellowship (KWPF) dan Khazanah Associate Artist Residency Programme (KAAR) bertujuan mengasah bakat tempatan melalui penerapan ilmu, kemahiran dan rangkaian relevan demi pembangunan kapasiti, masyarakat dan ekonomi.
Laluan kerjaya
Di peringkat akar umbi, program kebolehpasaran K-Youth telah melatih 8,222 belia pada tahun 2024, dengan 77 peratus daripadanya merangkumi komuniti B40.
Sejumlah 83 peratus peserta berjaya memperoleh pekerjaan dalam industri utama seperti teknologi, semikonduktor dan hospitaliti.
Tahun ini, tambahan RM200 juta diperuntukkan untuk melatih 8,000 lagi peserta.
Program ini turut menyokong aspirasi Pelan Induk Semikonduktor Negara (NSS) dengan menyasar sehingga 3,000 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), diploma dan ijazah untuk dilatih dalam kemahiran rantaian nilai tinggi seperti reka bentuk litar bersepadu (IC design) dan pembungkusan maju.
Khazanah turut membangunkan pemimpin masa hadapan melalui Program Latihan Siswazah Khazanah (KGTP), yang memberi pendedahan kepada pelbagai fungsi, industri dan bidang dalam persekitaran dinamik serta berdaya saing.
Sejak 2011, lebih 250 graduan KGTP kini berkhidmat sebagai pemimpin muda di Khazanah, GLC dan sektor strategik negara, sekali gus memperkukuh bakat tempatan serta menyumbang kepada daya saing ekonomi Malaysia.
Tenaga mahir digital
Menyedari kepentingan ekonomi digital, Khazanah menubuhkan 42 Malaysia (42MY), sekolah pengekodan percuma berasaskan pembelajaran rakan sebaya tanpa guru atau peperiksaan, hanya projek dunia sebenar.
Terbuka kepada semua, program ini menjadi pintu masuk unik ke kerjaya teknologi dan menyasarkan pembangunan 10,000 tenaga profesional teknologi dalam tempoh 10 tahun, dengan penyertaan 580 orang pelajar setakat ini.
Di peringkat komuniti, Yayasan Hasanah (sebuah yayasan impak milik Khazanah) menyokong latihan guru, transformasi sekolah, pendidikan seni dan pembelajaran luar bandar termasuk komuniti terpinggir serta Orang Asal.
Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) pula menyumbang secara sistemik melalui penyelidikan dasar berasaskan bukti dalam pendidikan, ketidaksamaan dan pembangunan kemahiran bagi memacu pembaharuan nasional.
Modal insan sebagai teras pertumbuhan
Strategi Khazanah menekankan pembangunan bakat sebagai nilai teras, memacu roda ekonomi progresif yang mana pelaburan terhadap rakyat menjana pertumbuhan ekonomi dan pertumbuhan itu membiayai pelaburan semula, satu kitaran penting dalam usaha memajukan Malaysia.
Namun, usaha ini memerlukan kerjasama kerajaan, industri, akademia dan masyarakat sivil untuk membangunkan bakat bertaraf dunia.
“Daripada pereka cip semikonduktor ke saintis iklim dan pengaturcara hingga penggiat budaya, semua kisah ekonomi Malaysia akan ditulis oleh rakyatnya. Dengan kesedaran ini, Khazanah bukan sekadar menambah modal kewangan, malah membina modal insan.
“Ekonomi masa depan tidak bermula dengan kilang atau dana, tetapi dengan bakat. Bakat dapat disemai melalui kepercayaan, peluang dan keyakinan yang diberikan,” kata Amirul Feisal.
Inisiatif peningkatan kemahiran oleh Khazanah diyakini mampu membina saluran bakat yang mampan, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi dan memperkukuh ketahanan negara dalam menghadapi cabaran masa depan.
Keperluan ini semakin mendesak apabila Malaysia berdepan dengan kekurangan bakat berkemahiran tinggi yang penting untuk menyokong pertumbuhan pesat industri berteknologi tinggi, menurut penyelidikan KRI.
Dalam masa yang sama, negara berada di persimpangan demografi penting. Populasi usia bekerja yang ramai kini beriringan dengan peningkatan jumlah warga tua, menjadikan pelaburan dalam bakat dan penyediaan peluang kepada generasi muda semakin kritikal.
Tindakan yang diambil hari ini akan menentukan sama ada kelebihan demografi dapat diterjemahkan sebagai kekuatan nyata untuk memajukan Malaysia.