SEREMBAN - Hasil bedah siasat ke atas murid lelaki Tahun Empat yang dilaporkan meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di dalam tandas sebuah sekolah rendah di Senawang pada Rabu mengesahkan punca kematian disebabkan tekanan pada leher.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, proses bedah siasat yang dijalankan pada Khamis turut mengesahkan tiada kecederaan lain dikesan pada tubuh mangsa.
Menurutnya, setakat ini seramai 27 individu telah dirakamkan keterangan.
“Siasatan menyeluruh sedang dijalankan termasuk bagi mengenal pasti punca tindakan sebelum kejadian serta keadaan semasa mangsa ditemui di dalam tandas.
“Polis menggesa agar diberikan ruang untuk menjalankan siasatan secara telus dan dengan mengambil kira pematuhan terhadap sensitiviti kanak-kanak yang dilindungi di bawah peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001 memandangkan siasatan turut melibatkan saksi kanak-kanak,” katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi tidak berasas yang boleh menjejaskan atau mengganggu proses siasatan.
Terdahulu, beliau memaklumkan bahawa kes masih diklasifikasikan di bawah Seksyen 507C Kanun Keseksaan dan siasatan masih diteruskan bagi merungkai punca sebenar kejadian.
Pada Rabu, media melaporkan seorang murid lelaki berusia 10 tahun ditemui tidak sedarkan diri di dalam tandas sebelum dibawa ke sebuah klinik swasta oleh guru disiplin namun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights pada malam ini.