Tahan sukarelawan kapal GSF satu penghinaan kepada dunia - Ismail Sabri

Iklan
Petugas Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) giat mengemas status terkini pelayaran Misi GSF serta maklumat rakyat Malaysia yang dipintas dan terputus hubungan ketika menuju ke Gaza. FOTO: BERNAMA Setakat 7:50 pagi waktu Malaysia, 17 rakyat Malaysia di atas lima kapal yang menyertai misi kemanusiaan tersebut disahkan terputus hubungan dengan SNCC hari ini. Gambar kecil: Ismail Sabri -- fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengecam keras tindakan rejim Israel yang menahan anggota sukarelawan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ketika membawa bantuan ke Gaza.

Menurut Ahli Parlimen Bera itu, penahanan itu jelas membuktikan Israel sekali lagi melanggar undang-undang antarabangsa serta menghalang bantuan kemanusiaan daripada sampai kepada rakyat Palestin yang sedang menderita.

Iklan
Iklan

“Tindakan rejim apartheid Zionis ini adalah satu penghinaan kepada masyarakat dunia yang telah bangkit dan berterusan mendesak Israel supaya menghentikan perang ini,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pendirian bekas Naib Presiden UMNO itu dibuat susulan kenyataan terkini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengecam tindakan tentera Israel yang menahan 23 rakyat Malaysia yang menyertai GSF.

Iklan

Mengesahkan perkara itu, Anwar menegaskan pihaknya menghubungi rakan sejawat dari Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan bagi memaklumkan perkara tersebut.

Sebelum ini, Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) melaporkan seramai 17 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF disahkan dipintas tentera Israel di perairan Gaza setakat jam 2 petang, Khamis.

Iklan

Menerusi paparan skrin perkembangan kapal delegasi Malaysia di SNCC, lima individu terbaharu ialah Haroqs, Dr Taufiq dan Haikal yang menaiki kapal Free Willy manakala dua lagi ialah Zainal Rashid Ahmad dan Ustaz Mad Abdullah (kapal Fair Lady).

Selain itu, turut disahkan enam rakyat Malaysia terputus hubungan dan terbaharu ialah Razali Awang yang menaiki kapal Inana.

Perkembangan terbaharu ini menjadikan jumlah kapal yang dipintas tentera Israel sebanyak tujuh buah termasuk Alma, Sirius, Huga, Grande Blu, Hio dan Free Willy.

Sementara itu, Ismail Sabri turut menggesa Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa dan pengaruh mereka untuk memberi tekanan kepada Israel agar membebaskan semua anggota flotilla yang ditahan serta membenarkan misi bantuan ke Gaza diteruskan.

Pada masa sama, beliau menyeru komuniti antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan seluruh dunia untuk bangkit menekan Israel supaya membebaskan kesemua anggota flotilla tanpa syarat serta memastikan saluran bantuan ke Gaza tidak lagi diganggu.

"Suara solidariti bersama Palestin tidak akan pernah padam selagi kekejaman Israel tidak dihentikan.

"Marilah kita sebagai rakyat Malaysia mendoakan keselamatan sukarelawan Malaysia dan sukarelawan antarabangsa sentiasa dilindungi ALLAH SWT serta selamat pulang ke tanah air,” ujarnya.