LIPIS - Kerajaan Pahang melaksanakan Ekspedisi Kajian Kelestarian Trek Gunung Tahan dari Merapoh ke Kuala Tahan 2025 bagi meneliti dan menambah baik kemudahan di taman negara berkenaan.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri, Fadzli Mohamad Kamal berkata, usaha itu dilaksanakan atas hasrat Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memandangkan Taman Negara Merapoh memiliki potensi besar untuk dibangunkan.
Menurutnya, ekspedisi anjuran kerajaan negeri melalui Majlis Rekreasi Pahang (MRP) dilaksanakan untuk memberi cadangan penambahbaikan kemudahan di sepanjang trek dari Gunung Tahan itu.
“Paling penting kita tengok keperluan utamanya iaitu pembinaan tapak perkhemahan.
"Mungkin dari segi penempatan kabin-kabin, pembinaan jambatan gantung, pembinaan tandas atau kemudahan lain sehinggalah kepada soal keselamatan dari segi papan tanda atau penunjuk arah. Kita akan tengok keseluruhan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena pelepasan Ekspedisi Kajian Kelestarian Trek Gunung Tahan dari Merapoh ke Kuala Tahan 2025 di Taman Negara Pahang, Sungai Relau di sini pada Khamis.
Ekspedisi itu melibatkan 54 peserta mewakili 20 agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.
Fadzli berkata, Gunung Tahan memiliki potensi besar dan rugi sekiranya ia tidak dibangunkan sepenuhnya.
Tambah beliau, selain daripada kemudahan penginapan dan keselamatan, pihaknya turut meninjau capaian komunikasi di laluan sejauh 87 kilometer berkenaan.
“Dalam ekspedisi ini, perkara tersebut (capaian internet dan komunikasi) juga akan diambil kira termasuk kemudahan 'repeater' dan sebagainya,” ujarnya.
Jelas beliau lagi, hasil penelitian ekspedisi gunung berketinggian 2,187 meter yang dijangka berakhir pada 8 atau 9 Oktober ini akan dipersembahkan kepada Al-Sultan Abdullah untuk tindakan seterusnya.