SEPANG - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam tindakan tentera Israel yang menahan 23 rakyat Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotilla (GSF).
Mengesahkan perkara itu, Anwar berkata, beliau telah menghubungi rakan sejawat dari Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan bag memaklumkan perkara tersebut.
"Sejak saya memperoleh maklumat tentang penahanan 23 anak-anak Malaysia di atas kapal Sumud Flotilla bersama rakan-rakan lain dari seluruh dunia, saya terus menghubungi Perdana Menteri Qatar, Presiden Turkiye dan petang ini, saya akan (menghubungi) Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi.
"Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hasan) akan menghubungi beberapa rakan lain, termasuk Setiausaha Amerika Syarikat (Marco Rubio) untuk meminta mereka campur tangan bagi memastikan kebebasan semua yang ditahan oleh rejim Israel," katanya ketika sidang akhbar khas mengenai perkembangan terkini GSF di sini pada Khamis.
Dalam pada itu beliau menegaskan, tindakan Zionis itu kejam kerana keprihatinan sukarelawan adalah atas prinsip kemanusiaan mahu membantu rakyat Gaza yang lemah, kelaparan dan sakit melibatkan golongan wanita dan kanak-kanak.
"Kalau itu tidak dapat dilakukan, maknanya nilai kemanusiaan tidak berharga sama sekali.
"Sekali lagi, saya berdoa kepada ALLAH SWT supaya kezaliman rejim Israel ini dihentikan dan rakan-rakan kita dibebaskan serta bantuan kemanusiaan kepada anak-anak di Gaza, Palestin dapat disampaikan dalam kadar segera," ujarnya.
Sebelum ini media melaporkan, Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby mengesahkan kapal GSF telah dipintas oleh tentera Israel di perairan antarabangsa ketika konvoi itu menuju ke Gaza bagi misi kemanusiaan.