SEBERANG JAYA - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM100,000 kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) pada Khamis.
Ia sekali gus mencatat sejarah sebagai kali pertama syarikat itu menunaikan kewajipan berkenaan sejak dikorporatkan pada tahun 1999.
Penyerahan itu dilakukan Ketua Pegawai Eksekutif PBA Holdings Bhd merangkap PBAPP, Datuk K Pathmanathan dan dengan disaksikan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.
Mohamad yang juga Pengerusi Zakat MAINPP berkata, zakat perniagaan bukan beban sebaliknya satu pelaburan akhirat dan kunci kelestarian perniagaan yang berkat.
“Jika lebih banyak syarikat tampil menunaikan zakat dengan ikhlas, kita akan dapat melahirkan masyarakat yang lebih sejahtera dan memperkukuh kedudukan ekonomi umat Islam di negeri ini.
“Zakat perniagaan yang ditunaikan PBAPP hari ini memberi cerminan jelas bagaimana institusi zakat mampu menjadi pemacu pembangunan umat, bukan sahaja dalam bentuk kebajikan, tetapi juga melalui inisiatif ekonomi dan pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan PBAPP Sdn Bhd di sini pada Khamis.
Tambah beliau, sehingga September tahun ini, sebanyak 429 syarikat di Pulau Pinang telah menunaikan zakat perniagaan dengan jumlah kutipan mencecah RM19 juta.
"Jumlah itu meningkat berbanding tempoh sama pada tahun 2024 namun masih ada ruang penambahan sekiranya semua syarikat layak tampil menunaikan kewajipan mereka.
"Secara keseluruhannya, kutipan zakat di negeri ini telah mencapai RM122 juta manakala sebanyak RM199.8 juta diperuntukkan untuk diagihkan kepada golongan asnaf bagi tahun 2025," katanya.
Dr Mohamad turut meminta lebih banyak syarikat mencontohi langkah PBAPP dalam menunaikan zakat perniagaan kerana ia mampu memperkukuh ekonomi umat Islam dan mewujudkan masyarakat lebih sejahtera.
Sementara itu, Pathmanathan berkata, usaha PBAPP menunaikan zakat perniagaan digerakkan sendiri oleh Mohamad yang menyuarakan keperluan itu kepada pihak pengurusan memandangkan syarikat berkenaan adalah sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.
"Dalam kalangan kakitangan PBAPP sendiri, seramai 1,233 orang atau 80.3 peratus adalah beragama Islam setakat 31 Ogos 2025.
"Majlis pada hari ini, bukan sekadar simbolik penyerahan malah melambangkan nilai tanggungjawab, keprihatinan dan kebersamaan dalam membangunkan masyarakat," ujarnya.
Tambah beliau, zakat adalah kewajipan penting bagi umat Islam yang mana, ia bukan sahaja ibadah malah satu sistem sosial dan ekonomi yang unik kerana menghubungkan kejayaan perniagaan dengan tanggungjawab terhadap masyarakat.
“Bagi PBAPP, saya gembira usaha ini akhirnya terlaksana dan kami berdoa agar dapat menunaikan zakat perniagaan setiap tahun.
"Sebagai operator bekalan air negeri, keuntungan kewangan bukanlah keutamaan, sebaliknya aspek kelestarian dan tanggungjawab sosial korporat lebih diberi penekanan,” katanya.