Rekrut pelajar sekolah sebagai 'striker', suami isteri dalang curi motosikal ditahan

Iklan
Polis turut merampas pelbagai peralatan pecah rumah serta peralatan mencuri kenderaan yang digunakan kumpulan terbabit. Gambar kecil: Dzulkhairi

MELAKA – Kegiatan tiga kumpulan jenayah termasuk yang diketuai sepasang suami isteri yang merekrut pelajar sekolah sebagai ‘striker’ untuk mencuri motosikal terbongkar apabila polis menahan 12 individu dalam Op Pintu/Lejang Khas 2025 pada minggu lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kesemua suspek berusia antara 13 hingga 46 tahun itu, termasuk dua pelajar sekolah yang didalangi sepasang suami isteri dipercayai ahli Geng Abang Wan, ditahan dalam serbuan berasingan bermula 22 hingga 28 September lalu.

Iklan
Iklan

"Dua pelajar berusia 13 dan 15 tahun ini dijadikan budak suruhan oleh pasangan suami isteri masing-masing berusia 29 dan 31 tahun untuk mencuri motosikal.

"Mereka dipergunakan pasangan suami isteri ini untuk melaksanakan kerja kotor kumpulan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Jelasnya, operasi khas yang dijalankan Bahagian Risikan/Operasi/Rekod Jenayah (D4) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka turut menumpaskan Geng Ahtee dan Geng Ahsoon Pekong yang masing-masing dianggotai tiga lelaki, manakala dua lagi bertindak secara solo.

Ujarnya, ketiga-tiga kumpulan berkenaan aktif mencuri kenderaan, memecah rumah, selain menyasarkan tabung masjid dan surau yang tidak berpenghuni.

Iklan

“Hasil saringan air kencing mendapati sembilan daripada suspek yang ditahan positif methamphetamine.

"Polis turut merampas pelbagai peralatan pecah rumah serta peralatan mencuri kenderaan,” tambahnya.

Dzulkhairi berkata, penahanan berkenaan berjaya menyelesaikan 25 kes pecah rumah dan curi kenderaan yang dilaporkan di seluruh negeri.

Jelasnya, sepanjang operasi tersebut, polis turut memeriksa 315 premis, 179 individu serta 130 kenderaan bagi mengesan kegiatan curi dan jenayah harta benda.

Kesemua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.