Usia 13 tahun belum cukup matang menilai kandungan di sosial media

Iklan

SHAH ALAM - Dalam era digital yang serba pantas ini, penggunaan media sosial telah menjadi sebahagian besar daripada kehidupan seharian, termasuk dalam kalangan kanak-kanak.

Walaupun platform seperti TikTok, Instagram dan YouTube menetapkan had umur tertentu, realitinya ramai kanak-kanak bawah umur khususnya di bawah usia 13 tahun sudah pun aktif menggunakan media sosial sama ada secara terbuka atau melalui akaun yang dikendalikan oleh ibu bapa.

Iklan
Iklan

Fenomena ini menimbulkan pelbagai persoalan berkaitan keselamatan, kesihatan mental dan pembangunan sosial kanak-kanak. Di satu sisi, media sosial boleh menjadi medium pembelajaran dan kreativiti, namun di sisi lain, ia turut membuka ruang kepada pendedahan awal terhadap kandungan tidak sesuai, interaksi dengan individu tidak dikenali serta ketagihan digital.

Peranan ibu bapa dan penggubal dasar semakin mencabar dalam menentukan sejauh mana batas yang wajar dikenakan.

Iklan

Sehubungan itu, cadangan untuk mengenakan larangan rasmi terhadap penggunaan media sosial oleh kanak-kanak bawah 13 tahun mula menjadi perhatian.

Perbincangan ini bukan sahaja melibatkan aspek teknikal seperti verifikasi umur, tetapi juga nilai moral, hak kanak-kanak dan tanggungjawab semua pihak dalam membentuk ekosistem digital yang lebih selamat dan beretika untuk generasi muda.

Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), Mediha Mahmood berkata, penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak bawah umur terus meningkat, malah ada ibu bapa yang membenarkan anak-anak mereka bebas meneroka dunia maya untuk tujuan menjana pendapatan.

MEDIHA

Menurut beliau, perkembangan era digital yang pesat, pantas dan pelbagai menjadikan fenomena itu sukar dibendung walaupun peraturan sedia ada telah lama menyekat kanak-kanak bawah umur daripada memiliki akaun media sosial.

“Hakikatnya, bukan Malaysia sahaja berdepan cabaran ini. Negara lain juga mengalami isu sama dan sedang merangka undang-undang atau peraturan keselamatan digital untuk kanak-kanak.

“Kerajaan tidak berniat menutup terus ruang untuk kanak-kanak belajar atau bersosial dalam talian, tetapi langkah ini bertujuan mengekang sebarang ancaman keselamatan yang wajar difahami oleh semua pihak,” katanya kepada Sinar Harian, pada Rabu.

Jelas Mediha, kebanyakan platform media sosial sememangnya telah menetapkan syarat had umur, namun tahap pematuhan masih rendah, malah ada ibu bapa yang membantu anak-anak membuka akaun media sosial serta digunakan untuk menjual produk atau menjana pendapatan melalui aktiviti penstriman langsung dan kandungan digital.

“Kebanyakan negara sedang bergerak ke arah pelaksanaan sistem verifikasi umur dan jaminan risiko. Pendekatan ini lebih tertumpu kepada menilai tahap risiko berdasarkan jenis platform, kandungan dan fungsinya.

“Sebagai contoh, mungkin kandungan bersifat pendidikan boleh diakses oleh kanak-kanak, tetapi ciri interaktif seperti ruang sembang atau ‘live streaming’ perlu melalui semakan umur yang lebih ketat,” katanya.

Beliau berkata, keutamaan pihaknya adalah memastikan kanak-kanak tidak terdedah kepada kemudaratan dalam ekosistem kandungan media sosial, selari dengan piawaian dan standard yang digariskan oleh CMCF.

Bagaimanapun, katanya, penentuan kaedah terbaik untuk menangani ancaman keselamatan dalam talian yang membabitkan kanak-kanak bawah umur tertakluk kepada kebijaksanaan pakar teknologi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Terdapat keperluan mustahak untuk pelaksanaan verifikasi umur apabila menyentuh tentang kanak-kanak, sejajar dengan Pindaan Akta 588 (2024), Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) dan usaha kerajaan memperkukuh keselamatan digital negara,” ujarnya.

Sebelum ini, Kementerian Komunikasi memaklumkan sedang mempertimbangkan cadangan untuk melarang kanak-kanak bawah 13 tahun memiliki akaun media sosial.

Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, bagi remaja berumur 13 tahun ke atas pula, mereka akan diberikan modul literasi digital sebagai usaha meningkatkan kefahaman tentang kerencaman maklumat dan keselamatan dalam talian.

Menurutnya, sebanyak 1,443 kandungan jelik dan melampau yang membabitkan kanak-kanak telah diturunkan oleh penyedia perkhidmatan, selepas menerima permohonan daripada SKMM.

Tindakan itu diambil susulan pelanggaran peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta garis panduan komuniti platform-platform terlibat.

Sementara itu, Pakar Perundangan Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal secara peribadi menyokong cadangan kerajaan untuk menetapkan had umur penggunaan media sosial.

NOOR AZIAH

Jelasnya, individu bawah umur 13 tahun belum cukup matang dan berisiko tinggi terdedah kepada gejala sosial, eksploitasi dalam talian serta jenayah seksual termasuk pedofilia.

“Mereka mungkin berkomunikasi dengan orang dewasa yang tidak dikenali, termasuk pedofil dan penjenayah siber. Orang dewasa pun boleh ketagih media sosial, apatah lagi kanak-kanak.

“Saya bersetuju sekiranya kerajaan mempertimbangkan had umur penggunaan media sosial bagi kanak-kanak bawah 13 tahun. Malah, pada hemat saya, had umur ini boleh dinaikkan kepada 14 tahun.

“Ini bermakna, kanak-kanak bawah 14 tahun tidak dibenarkan memiliki akaun media sosial, manakala mereka yang berumur 14 tahun ke atas dibenarkan dengan kawalan sewajarnya,” katanya.