Jangan sensasikan isu roboh surau di Kampung Seri Keramat

Iklan
Surau Al-Karamah, Kampung Seri Keramat di lokasi lama sebelum dipindahkan. (Kenyataan yang dikeluarkan MAIPk pada Khamis.)

IPOH - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) mengingatkan semua pihak agar tidak mensensasikan isu meroboh bangunan surau di Kampung Seri Keramat, Pasir Puteh yang tular di media sosial sejak Selasa.

Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, perbuatan mensensasikan perkara itu boleh menimbulkan kekeliruan dan menjejaskan keharmonian masyarakat.

Iklan
Iklan

Beliau menegaskan bahawa isu bangunan lama itu sebenarnya telah lama diselesaikan dengan pemindahan surau ke tapak baharu yang diwakafkan secara sah atas nama MAIPk iaitu kira-kira 250 meter dari tapak asal.

"Keputusan pemindahan itu dibuat selepas Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak pada 30 September hingga 1 Oktober 2020 menetapkan bahawa surau tersebut perlu dipindahkan kerana berada di atas tanah bukan wakaf," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Iklan

Beliau menambah, bagi menyelesaikan isu berkenaan secara harmoni dan teratur mengikut undang-undang, kerajaan negeri telah memperuntukkan satu tapak yang diwakafkan secara sah.

Katanya, syarikat pemaju juga mengambil langkah tanggungjawab menanggung sepenuhnya kos pembinaan surau baharu di tapak sah yang kini telah siap dan digunakan oleh penduduk setempat.

Iklan

"Jawatankuasa surau yang sah telah dilantik oleh MAIPk pada 2 Januari 2024 untuk menguruskan bangunan baharu itu mengikut undang-undang, peraturan dan arahan pentadbiran yang ditetapkan," katanya.

Mohd Annuar menjelaskan, bangunan yang dijadikan surau lama tersebut sebelum ini didirikan di atas tanah milik pemaju dan pembinaannya tidak sah kerana tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa agama negeri.

Perkara itu jelasnya, bertentangan dengan ketetapan MAIPk bahawa setiap pembinaan rumah ibadat bagi umat Islam di negeri ini mesti mendapat kebenaran dan mematuhi kehendak undang-undang serta syarak.

"Peruntukan subseksyen 87(2) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 yang mensyaratkan mana-mana bangunan yang ingin dibina, diguna atau diiktiraf sebagai masjid atau surau mestilah didirikan di atas tanah yang diwakafkan secara sah atas nama MAIPk.

"Dalam kes ini, tanah tapak bangunan tersebut tidak berdaftar sebagai harta wakaf MAIPk dan tiada sebarang permohonan ramsi dibuat sebelum pembinaannya," katanya.