Penganalisis geopolitik kemuka solusi selamatkan peserta GSF Malaysia yang ditahan Israel

Iklan
Paparan skrin perkembangan kapal delegasi Malaysia di Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Sepang.

SHAH ALAM - Satu-satunya jalan penyelesaian untuk menyelamatkan peserta Malaysia dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) daripada ditahan lama oleh Israel adalah melalui kaedah diplomasi.

Penganalisis geopolitik, Ayman Rashdan Wong berkata, meskipun Malaysia tiada hubungan diplomatik dengan Israel, kerajaan cuma boleh bergantung harap pada negara Arab lain yang mempunyai kaitan seperti Turkiye, Mesir, Jordan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta Bahrain.

Iklan
Iklan

"Masalahnya, Malaysia tiada hubungan diplomatik dengan Israel. Kita tak anggap dia negara, begitu jua sebaliknya. Jadi, memang tak ada ruang nak bercakap dan itu juga buat risiko rakyat kita lebih tinggi kalau ditahan.

"Dalam keadaan ni, kita cuma boleh berharap pada negara Arab atau Islam yang ada hubungan diplomatik dengan Israel seperti Turkiye, Mesir, Jordan, UAE dan Bahrain. Arab Saudi serta Qatar ada hubungan tak rasmi, tetapi tetap signifikan dengan Israel.

Iklan

"Maghribi, Sudan, Azerbaijan, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Turkmenistan, Uzbekistan ada hubungan rasmi, Malaysia boleh abaikan sebab kita tak rapat sangat dengan mereka. Kesemua negara ini memang kita kecam selalu. Tetapi disebabkan ada hubungan diplomasi, mereka ada saluran untuk bercakap dengan Israel," katanya.

Ayman berkata demikian menerusi hantaran di Facebook pada Khamis, sebaik Malaysia dikejutkan dengan berita penahanan beberapa peserta GSF oleh tentera Israel.

Iklan

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, 12 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF disahkan dipintas tentera Israel di perairan Gaza setakat jam 10 pagi, Khamis.

Menerusi paparan skrin perkembangan kapal delegasi Malaysia di Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), mereka termasuk Musa Nuwayri, Ilya Balqis dan Sul Aidil yang berada di kapal Alma, serta Zizi Kirana di kapal Huga.

Selain itu, Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli dan Rusydi berada di kapal Sirius, manakala, Danish, Farah Lee di kapal Grande Blu serta penyanyi, Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio.

Sementara itu, lima lagi dilaporkan terputus hubungan antaranya pendakwah bebas, Rahmat Ikhsan atau lebih dikenali sebagai PU Rahmat, Norhelmi, Mohd Asmawi dan Norazman yang berada di kapal Estrella serta Ardell yang menaiki kapal Mikeno.

Mengulas lanjut, Ayman menambah, walaupun Israel tidak semestinya tunduk dengan kaedah diplomasi, ada kepentingan bersama yang boleh dijadikan bahan tawar-menawar.

"Eropah pun ada hubungan diplomasi dengan Israel tapi selepas banyak negara iktiraf Palestin kebelakangan ini, Israel dah 'bengang' dengan Eropah dan mungkin buat tak peduli.

"Yang paling penting, Amerika Syarikat (AS). Presiden AS, Donald Trump sahaja ada pengaruh untuk pujuk Israel lakukan perkara yang luar dari kebiasaan. Namun, itu belum pasti sebab AS-Israel ini hubungan simbiotik.

"Kalau Malaysia minta tolong Trump, mesti dia minta sesuatu sebagai balasan dan tak pasal-pasal kita kena 'pegang'. Apa pun, jangan dipolitikkan krisis ini. Insya-ALLAH, semuanya akan selamat dan balik ke tanah air," jelas penulis itu lagi.