BANGI – Hutang pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) kini berkurang kepada kira-kira RM200 juta berbanding hampir RM500 juta sebelum ini.
Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pengurangan hampir 60 peratus itu dicapai hasil usaha berterusan dan langkah proaktif yang dilaksanakan kerajaan.
“Angka yang dinyatakan kononnya hutang PBT kepada SWCorp sebanyak RM500 juta adalah tidak tepat. Kini jumlah itu telah berkurang kepada lebih kurang RM200 juta.
“Saya ingin mengingatkan semua PBT supaya wajib mematuhi dan menghormati kontrak atau perjanjian yang ditandatangani antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, seperti yang termaktub dalam Akta Kontrak 1950,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Kali Keempat Sijil Kemahiran Malaysia di Pusat Konvensyen Bangi Avenue di sini pada Khamis.
Turut hadir, Pengerusi SWCorp, Hee Loy Sian dan Ketua Pengarah Eksekutif SWCorp, Khalid Mohamed.
Kor Ming berkata, kegagalan PBT melunaskan hutang kepada SWCorp akan menjejaskan kualiti serta kecekapan perkhidmatan pembersihan awam, sedangkan ia merupakan tanggungjawab teras agensi tersebut.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan beberapa pengumuman penting akan dibuat pada 10 Oktober ini, jam 4 petang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuk membabitkan perbincangan KPKT bersama Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi.
Menurutnya, KPKT juga telah memperkenalkan 13 inisiatif baharu bagi meningkatkan kebajikan rakyat termasuk penyediaan perumahan berkualiti tinggi.
Sementara itu, mengulas mengenai program MyKiosk 2.0, Kor Ming menegaskan ia merupakan program berkesan yang telah disahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mempunyai sebarang elemen salah guna kuasa atau salah urus.
Katanya, kadar pengisian MyKiosk kini mencapai 95 peratus sehingga September, manakala baki lima peratus akan dipindahkan ke lokasi lebih sesuai.
“KPKT juga akan melancarkan MyKiosk 3.0 dengan reka bentuk lebih menarik, menggunakan tenaga solar dan ciri baharu lain. Sehingga kini, seramai 7,000 keluarga terutama daripada golongan B40 dan peniaga kecil telah mendapat manfaat daripada inisiatif ini,” tambahnya.