SEPANG - [DIKEMAS KINI] 12 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) disahkan dipintas tentera Israel di perairan Gaza setakat jam 10 pagi pada Khamis.
Menerusi paparan skrin perkembangan kapal delegasi Malaysia di Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), mereka termasuk Musa Nuwayri, Ilya Balqis dan Sul Aidil yang berada di kapal Alma, serta Zizi Kirana di kapal Huga.
Selain itu, Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli dan Rusydi berada di kapal Sirius, manakala, Danish, Farah Lee di kapal Grande Blu serta penyanyi, Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio.
Sementara itu, lima lagi dilaporkan terputus hubungan antaranya pendakwah bebas, Rahmat Ikhsan atau lebih dikenali sebagai PU Rahmat, Norhelmi, Mohd Asmawi dan Norazman yang berada di kapal Estrella serta Ardell yang menaiki kapal Mikeno.
Difahamkan, 12 sukarelawan yang ditahan itu sempat berkongsikan hantaran mesej SOS kecemasan di media sosial Sumud Nusantara.
Jumlah keseluruhan rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi kemanusiaan itu ialah seramai 23 orang.
Sebelum ini, SNCC pada Khamis jam 2.03 pagi waktu Malaysia, mengesahkan kapal GSF telah dipintas oleh tentera Israel di perairan antarabangsa ketika konvoi itu menuju ke Gaza bagi misi kemanusiaan.
Kementerian Luar Negeri Israel dalam satu kenyataan telah menuduh konvoi tersebut adalah satu tindakan provokasi dan mengarahkan mereka mengubah haluan.
Israel juga mendakwa mereka mahu menghantar bantuan itu sendiri terus kepada Gaza.
Kenyataan itu menambah Tentera Laut Israel telah menghubungi GSF dan menggesa supaya ia mengubah haluan, dengan memberi amaran bahawa konvoi sedang menghampiri zon pertempuran aktif dan melanggar sekatan laut yang sah.