KUALA LUMPUR – Usaha memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam industri kraf kini dilihat bergerak ke fasa baharu apabila sektor berasaskan warisan itu mula diposisikan sebagai sumber ekonomi mampan, sejajar keperluan pasaran moden dan daya saing jangka panjang.
Pendekatan itu diterjemahkan menerusi pelancaran Minggu Seri-Ibu Kraf CIMB oleh CIMB Group Holdings Berhad (CIMB), satu inisiatif yang menggabungkan pembangunan kapasiti, jaringan perniagaan serta penciptaan nilai ekonomi bagi PKS kreatif, khususnya penggiat kraf tempatan.
Pelancaran program berkenaan dirasmikan oleh Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, sekali gus memberi pengiktirafan institusional terhadap peranan industri kraf dalam landskap ekonomi negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Novan Amirudin berkata, Minggu Seri-Ibu Kraf CIMB yang berlangsung dari 4 Februari hingga 1 Mac 2026 di KLGCC Mall, Kuala Lumpur mencerminkan komitmen berterusan kumpulan itu dalam memperkasa PKS melalui penyediaan platform yang menyokong penambahbaikan keupayaan perniagaan, pembinaan jaringan serta penciptaan nilai jangka panjang.
Menurutnya, sokongan terhadap keusahawanan kraf Malaysia, sama ada berteraskan reka bentuk kontemporari mahupun warisan, penting bagi memastikan kelangsungan perniagaan sambil memelihara nilai seni tersebut untuk generasi akan datang, selari dengan aspirasi CIMB untuk memperkasa pelanggan dan masyarakat.
"Dalam konteks ekonomi semasa, pendekatan bersepadu yang ditampilkan CIMB dilihat signifikan kerana ia tidak hanya menumpukan aspek jualan, sebaliknya merangkumi elemen asas kelangsungan perniagaan seperti pengurusan aliran tunai, kawalan perbelanjaan, strategi penjenamaan dan perancangan pertumbuhan," katanya dalam kenyataan.
Seiring itu, Minggu Seri-Ibu Kraf CIMB turut menampilkan siri sesi jaringan termasuk program Saudagar CIMB yang terbuka kepada PKS daripada pelbagai sektor, bertujuan membantu pemilik perniagaan mengasah kemahiran keusahawanan serta memahami cabaran sebenar mengurus perniagaan secara mampan.
Sesi padanan perniagaan yang dianjurkan pula membuka ruang kerjasama strategik melibatkan pembiayaan, jualan silang dan peluasan pasaran, dengan sasaran kehadiran kira-kira 300 PKS sepanjang program berkenaan.
Menariknya, kandungan perkongsian yang diketengahkan melangkaui aspek tradisional, apabila usahawan berjaya daripada industri makanan dan minuman, fesyen serta pengurusan hartanah berkongsi pengalaman mengenai pemanfaatan pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI), selain proses penskalaan daripada pengeluaran kecil kepada pasaran eksport.
Pendekatan ini mencerminkan usaha meletakkan industri kraf sebagai sebahagian daripada rantaian ekonomi moden, bukan sekadar produk seni bernilai estetika tetapi juga berpotensi menjana pendapatan berterusan jika diurus secara strategik.
Dalam usaha memperkukuh sokongan kewangan, Yayasan Hasanah turut terlibat dengan memperkenalkan geran perniagaan khusus untuk PKS, manakala panel pakar CIMB menyediakan pandangan profesional merangkumi pelbagai peringkat kitaran hayat perniagaan.
Penglibatan komuniti tempatan seperti Cake Piknik pula menambah dimensi praktikal melalui penganjuran bengkel membuat kek, sekali gus memperlihatkan kepelbagaian subsektor kreatif yang digabungkan dalam satu ekosistem pembangunan.
Dari sudut pameran, Minggu Seri-Ibu Kraf CIMB menampilkan pelbagai hasil kraftangan artisanal merangkumi medium tekstil, kayu, kaca, logam dan bahan bukan logam lain, melibatkan lebih 30 butik fesyen serta kraf yang mempamerkan karya terbaik mereka sepanjang acara yang berlangsung selama sebulan.
Pameran berkenaan turut diserikan dengan koleksi fesyen Raya oleh pereka terkemuka dan bakat meningkat naik, sekali gus menghubungkan kreativiti tempatan dengan permintaan pasaran bermusim yang bernilai komersial tinggi.
Antara usahawan kraf yang terlibat termasuk Toko Art, La Putri, Cipela, Earth Heir, Hara Makers, Mah Meri Cultural Village, Kakao Origin dan Aperture Café TTDI, selain pengeluar tenun serta anyaman seperti Terengganu Songket, Manang Songket, Samyama by John Ang, Tanoti dan MyPride.
Pereka fesyen yang mengambil bahagian pula merangkumi Radzuan Radziwill, Tom Abang Saufi, Pink Jambu, Arun Sayfull, Shanell Harun, Tinta Sutera dan Qudyn Aziz bersama Kekean Wastra Gallery, sekali gus memperlihatkan sinergi antara kraf dan fesyen sebagai satu ekosistem ekonomi kreatif.
Sebagai nilai tambah, CIMB bekerjasama dengan Sime Darby Property bagi menganjurkan Piala Seri-Ibu Kraf, pertandingan yang mengetengahkan bakat terbaik dalam seni kraf merangkumi kategori Tekstil, Tukang Logam serta Bukan Logam, di samping Anugerah Inovasi dan Anugerah Pilihan Orang Ramai.
Anugerah Khas Seri-Ibu pula akan dipilih sendiri oleh Tengku Ampuan Pahang, sekali gus mengangkat martabat kraf tempatan ke peringkat lebih tinggi melalui pengiktirafan berprestij.
Keseluruhan inisiatif ini turut menyemarakkan semangat Kita Bagi Jadi, gerakan sosial CIMB yang meraikan daya tahan, optimisme serta nilai positif dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya PKS yang terus berusaha membangunkan perniagaan dalam persekitaran mencabar.