KUALA LUMPUR – Pembangkang menghantar usul kepada Dewan Rakyat untuk menuntut diadakan sesi perbahasan terhadap penerangan diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu jajaran sempadan antara Malaysia dan Indonesia.
Menurut Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, beliau mengemukakan usul itu mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 18(1) dan 18 (2) bagi merungkai beberapa isu yang masih lagi menjadi persoalan, janggal dan tidak jelas.
Katanya, ia termasuk melibatkan status 5,207 hektar tanah yang dikatakan tidak dimiliki mana-mana negara kerana bersifat masalah sempadan tertangguh (OBP).
"Sekarang ini kami nak bertanya semula kepada Yang Amat Berhormat (YAB) Tambun (Perdana Menteri) apa yang beliau maksudkan dengan istilah yang dikatakan 5,207 hektar bukannya milik Malaysia tetapi sudah jadi milik Indonesia namun diberi anggapan seolah-olah ia 'no man's land'. Ini perkara yang tidak jelas.
"Kami tuntut (untuk diadakan perbahasan) daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat kerana sesi penerangan satu hala sahaja tidak cukup sepatutnya ada perbahasan yang melibatkan kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan pembangkang.
“Pada awalnya Yang Dipertua Dewan Rakyat beri kebenaran seorang pembahas dari kedua-dua belah pihak selepas, selang sejam selepas diberi kebenaran tersebut, ia kemudian ditarik balik. Kenapa?“ dakwanya pada sidang akhbar bersama barisan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) di pusat media Parlimen di sini pada Khamis.
Anwar pada Rabu dilapor berkata, kawasan OBP antara Malaysia dan Indonesia tidak boleh dianggap sebagai kawasan milik mana-mana kerana ia belum diputuskan oleh kedua-dua negara.
Beliau berkata demikian merujuk kepada laporan yang mendakwa Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di kawasan Nunukan, berdekatan sempadan Sabah dan Kalimantan iaitu Kampung Kabungalor, Kampung Lepaga dan Kampung Tetagas.
Jelasnya, ini kerana kawasan itu adalah kawasan rundingan dan penentuan sempadan yang masih belum dimuktamadkan sejak dahulu lagi.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal berpendirian sesi perbahasan berkenaan penting bagi mengatasi kelompangan yang berlaku selain memberi ruang rakyat menilai perbahasan ahli Parlimen.
"Kita perlu ada ketelusan kerana sebarang isu membabitkan persempadanan semula wilayah negara haruslah seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Artikel 2. Ia menyatakan mana-mana sempadan negara yang hendak diubah perlu mendapat kelulusan, persetujuan Dewan Undangan Negeri (DUN) wilayah yang terjejas terbabit.
"Semalam, Semporna (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) turut membangkitkan tiada kelulusan dibuat berhubung dengan persempadanan semula dalam wilayah Sabah dan juga perkenan Majlis Raja-Raja," ujarnya.
Wan Ahmad Fayhsal menambah, sesi perbahasan itu juga sangat penting kerana isu sempadan terbabit dikhuatiri telah menyebabkan berlaku kerugian kepada negara.
“Berdasarkan usul yang saya bawa, sila kami minta kerajaan dan Dewan Rakyat sila adakan sidang tergempar semula. Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali seperti mana rundingan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia yang kalau tengok sekarang ini memang bermasalah dan menggadaikan kedaulatan negara.
“Bila dah tandatangan depan Presiden AS, Donald Trump kita bimbang berapa banyak lagi kepentingan dan kedaulatan negara tergugat kerana kerajaan tidak telus berbincang dengan kami di Dewan Rakyat. Jadi kita tidak mahu ia berlaku,” dakwa beliau lagi.