Greta Thunberg ditahan Israel

Iklan
Aktivis hak asasi manusia terkemuka dunia, Greta Thunberg merupakan antara individu yang ditahan selepas beberapa buah kapal GSF dipintas tentera laut Israel.

GAZA – Aktivis hak asasi manusia terkemuka dunia, Greta Thunberg merupakan antara individu yang ditahan selepas beberapa buah kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dipintas tentera laut Israel di perairan antarabangsa malam Rabu.

Kementerian Luar Israel dalam kenyataan mengesahkan beberapa kapal flotilla terbabit telah dihentikan dengan selamat dan semua penumpangnya kini sedang dibawa ke sebuah pelabuhan di Israel.

Iklan
Iklan

Pada masa sama, rejim Tel Aviv turut mengongsikan keratan video yang menunjukkan Greta bersama beberapa peserta flotilla yang ditahan dan berada dalam keadaan selamat.

“Sudah beberapa buah kapal flotilla Hamas-Sumud berjaya dihentikan dengan selamat dan penumpangnya kini sedang dibawa ke pelabuhan Israel.

Iklan

"Greta (Thunberg) dan beberapa peserta flotilla berada dalam keadaan baik,” katanya dalam kenyataan rasmi di laman Facebook pada Khamis.

Greta yang dikenali sebagai pejuang hak asasi manusia dan alam sekitar bersama rakan-rakannya dilaporkan berada dalam keadaan selamat tanpa kecederaan.

Iklan

Kehadirannya dalam misi flotilla kali ini mendapat perhatian global kerana beliau lantang menentang penindasan terhadap rakyat Palestin.

Terdahulu, pihak GSF dalam satu kenyataan mengecam keras tindakan Israel yang didakwa melanggar undang-undang antarabangsa apabila menghentikan misi kemanusiaan yang membawa bantuan perubatan dan makanan.

Organisasi itu turut mendedahkan sejumlah tiga kapal misi kemanusiaan GSF iaitu Alma, Surius dan Adara dipintas, 'diculik' serta dinaiki secara paksa oleh Tentera Laut Israel ketika berlayar di perairan antarabangsa pada kira-kira jam 8.30 malam waktu Gaza pada Rabu.

Menurut kenyataan GSF, sistem komunikasi kapal-kapal terbabit dipercayai telah disabotaj secara sengaja oleh rejim Israel bagi menghalang inisiatif siaran langsung melalui platform media sosial serta penghantaran isyarat kecemasan daripada disebarkan.

Tambah GSF, beberapa kapal lain turut terputus hubungan komunikasi sejurus insiden itu berlaku.

GSF menegaskan, walaupun sebahagian kapal telah dipintas, flotilla tersebut masih berada kira-kira 70 batu nautika dari pesisir Semenanjung Gaza dan akan meneruskan pelayaran tanpa gentar.

Tambah GSF, organisasi itu turut menyeru kerajaan dunia, pemimpin antarabangsa serta institusi global mendesak Israel menjamin keselamatan semua yang berada di atas kapal serta membebaskan mereka segera.