BACHOK - Impian kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun, Muhammad Ammar Muhammad Badrul yang maut dipukul dengan tukul oleh bapa saudaranya pada Rabu untuk tinggal bersama ibunya tidak kesampaian.
Menurut sepupunya, Amirul Nizam Saiful Bahari, 25, arwah dijangka berpindah ke rumah ibunya pada tahun hadapan di Terengganu.
"Sedih bila ingat balik dia ada minta untuk tinggal dengan ibunya, cuma ditangguhkan kerana ingin habiskan sesi persekolahan di sini pada tahun ini.
"Muhammad Ammar seorang yang lemah lembut dan budak baik. Kali terakhir saya bertemu dengannya pada dua minggu lalu pada majlis pertunangan saudara mara kami," katanya kepada pemberita semasa ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mujur, Jelawat, di sini pada Rabu.
Menurutnya, sepanjang seminggu Muhammad Ammar bertarung nyawa di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian kedua ibu bapanya, Muhammad Badrul Rameli, 31, dan Nur Ayuni Mohd Kamarulzaman, 29, sentiasa menemani kanak-kanak berkenaan.
Kedua ibu bapa Muhammad Ammar tidak dapat berkata-kata dan hanya mampu terdiam apabila didekati pemberita selepas pengebumian selesai sekitar jam 10.50 malam.
Kanak-kanak lelaki ini merupakan anak tunggal kepada pasangan yang sudah berpisah itu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan suasana pilu mengiringi pengebumian jenazah kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu yang maut dipukul dengan tukul oleh bapa saudaranya pada malam Rabu.
Urusan pengebumian kanak-kanak berkenaan selesai pada jam 10.50 malam di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mujur, Jelawat di sini.
Muhammad Ammar dilaporkan meninggal dunia jam 3.02 petang pada Rabu selepas tujuh hari bertarung nyawa di ICU HPUSM, Kubang Kerian.
Kanak-kanak terbabit berada dalam keadaan kritikal dan dipantau rapi oleh pasukan perubatan di hospital tersebut.
Muhammad Ammar mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan bergantung kepada mesin bantuan pernafasan