Trump boleh bertindak balas jika Malaysia tarik balik jemputan - Khairy

Iklan
Khairy mempertahankan keputusan kerajaan berhubung jemputan terhadap Trump menerusi siaran podcast Keluar Sekejap episod 172.

SHAH ALAM - Malaysia berisiko menerima tidak balas negatif daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekiranya kerajaan bertindak menarik balik jemputan terhadap pemimpin tersebut ke Kuala Lumpur bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bulan ini.

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Malaysia perlu memainkan peranan dengan bijak tanpa menggadaikan prinsip solidariti terhadap Palestin dengan kehadiran Trump.

Iklan
Iklan

Beliau optimis, karisma yang dimiliki Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk 'menasihatkan' Trump secara berdepan dalam usaha menghentikan genosid di Gaza berpotensi memberi kesan positif.

"Dia (Trump) akan bertindak balas, sama ada dia akan letak tarif 90 peratus ataupun dia akan buat sekatan baharu. Sebab bagi dia, tidak ada masalah.

Iklan

"Malaysia ini kecil sahaja. Dia boleh kata, okay awak tarik balik jemputan, jadi saya akan naikkan tarif hingga 90 peratus,” katanya menerusi siaran podcast Keluar Sekejap episod 172.

Sebelum ini, Anwar mempertahankan keputusan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN yang menjemput Trump menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara.

Iklan

Beliau menegaskan, Malaysia akan menggunakan platform diplomasi berkenaan untuk terus menyuarakan isu Palestin selain perlu bijak berunding dan mengekalkan suara yang tegas dalam mempertahankan kebenaran dengan cara berstrategi.

Bagaimanapun menurut Khairy, beliau tidak menolak bahawa Trump merupakan pemimpin yang perlu dikutuk kerana menyokong genosid di Gaza.

Katanya, kerajaan perlu bijak mengatur strategik diplomasi dengan kuasa besar tersebut.

"Kita kena ‘play smart’ tetapi kita jujur kepada prinsip kita. Maksudnya, bila dia ada di sini, PMX kena cakap depan-depanlah – Okay selamat datang ke Malaysia untuk ASEAN, Tuan Presiden.

"Kami amat menghargai bantuan dan usaha pihak Tuan Presiden semasa perang Kemboja dengan Thailand, puji dia sikitlah tetapi selepas itu kata, kami mempunyai kebimbangan yang serius terhadap sokongan anda kepada Israel. Cakap depan-depan," ujarnya.