MANILA - Angka korban gempa kuat di tengah Filipina meningkat kepada 69 orang pada Rabu.
Keadaan dilaporkan agak huru-hara berikutan hospital sekitar Pulau Cebu kini dibanjiri mangsa cedera selain kakitangan mengusung beg mayat tanpa henti sejak bencana itu berlaku.
Kesesakan luar biasa di kebanyakan kemudahan kesihatan menyebabkan khemah sementara terpaksa didirikan di luar Hospital Wilayah Cebu untuk merawat mangsa.
Difahamkan, ratusan gegaran susulan turut direkodkan sepanjang malam.
Menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa cetek berukuran 6.9 skala Richter itu terjadi pada jam 9.59 malam (waktu tempatan) pada Selasa di hujung pulau tersebut berhampiran Bogo yang berpopulasi 90,000 penduduk.
Sementara itu, Timbalan Pentadbir Pertahanan Awam, Raffy Alejandro berkata, jumlah kematian dijangka meningkat memandangkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih dijalankan di lokasi terjejas.
Terdahulu, Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Negara memaklumkan kira-kira 22 struktur dilaporkan musnah.
Rakaman memaparkan bangunan runtuh dan impak gempa itu dikongsi secara meluas di media sosial.
Stesen itu TV tempatan turut menyiarkan detik cemas beberapa penunggang motosikal terpaksa berpaut pada pagar penghadang sewaktu jambatan Cebu bergoyang dengan kuat.
Sejumlah jalan juga rosak teruk termasuk laluan di bandar Tabogon yang dilaporkan mengalami rekahan berukuran lima sentimeter. - AFP