Serah kebijaksanaan kerajaan tentukan kedatangan Trump - Ismail Sabri

Iklan
Ismail Sabri dalam program Interviu Sinar Harian, pada Selasa.

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin kerajaan hari ini mempunyai kebijaksanaan dalam membuat keputusan berhubung kedatangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Malaysia.

Beliau berkata, isu itu perlu dilihat dalam kerangka hubungan antarabangsa memandangkan Malaysia merupakan Pengerusi ASEAN dan terikat dengan prinsip zon aman, bebas dan berkecuali (ZOPFAN).

Iklan
Iklan

“Dalam isu jemputan terhadap Trump, saya percaya kepimpinan kerajaan hari ini tahu apa yang patut mereka buat.

“Jadi kita serahkan kepada kebijaksanaan mereka untuk membuat keputusan,” katanya dalam program Interviu Sinar Harian pada Selasa.

Iklan

Sementara itu Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera menjelaskan, ASEAN mempunyai peranan besar dalam mengekalkan keseimbangan hubungan dengan kuasa besar dunia seperti AS dan China terutama dari sudut kerjasama ekonomi.

Pada masa sama, bekas Naib Presiden UMNO itu menegaskan, pendirian Malaysia dalam isu Palestin tidak pernah berubah dan kekal konsisten menentang kekejaman Israel.

Iklan

“Malaysia dari dahulu sampai sekarang konsisten menentang Israel dan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.

“Kegagalan dunia menangani kekejaman Israel berpunca daripada kuasa veto di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang sering digunakan AS bagi menolak sebarang resolusi melibatkan Israel.

“Semasa saya menjadi Perdana Menteri, saya berucap di PBB supaya kuasa veto dihapuskan kerana ia menyebabkan semua keputusan terhadap Israel gagal dan selagi ada kuasa itu, apa sahaja yang diputuskan akan dibantah AS,” ujarnya.