JITRA - Sepasang suami isteri maut selepas motosikal ditunggang mereka dirempuh sebuah lori di Bulatan Hospital Jitra di sini pada pagi Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 pagi itu, mangsa, Megat Yahya Megat Ahmad, 66, yang menunggang motosikal Yamaha Nouvo LC bersama isterinya, Khoriyah Kasim, 61, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di seluruh badan.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah lori Hino berwarna biru dipandu lelaki berusia 51 tahun dengan sebuah motosikal yang dinaiki pasangan terbabit.
“Siasatan awal mendapati lori berkenaan dipercayai bergerak dari arah Pekan Jitra menuju ke Taman Suria sebelum membelok ke kiri.
“Pada masa sama, motosikal yang ditunggang mangsa datang dari arah sama, cuba memotong dari sebelah kiri sebelum terperosok ke bawah lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mohd Radzi berkata, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala kedua-dua mangsa yang beralamat di Kampung Kepala Batu, Pelubang, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Jitra untuk proses bedah siasat.
“Pemandu lori telah ditahan untuk membantu siasatan dan dibawa untuk ujian saringan air kencing. Dia yang berasal dari Parit Buntar, Perak, dibebaskan selepas keputusan ujian saringan didapati negatif.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian mangsa yang cuba memotong lori berkenaan dari sebelah kiri. Pemandu lori difahamkan terpaksa mengambil jarak untuk membelok ke kiri kerana muatan panjang,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.