Ancaman dron misteri di 10 negara

Iklan
Kehadiran dron misteri itu telah menjejaskan operasi di lapangan terbang negara terlibat.

BRUSSELS - Penampakan dron misteri di ruang udara beberapa negara Eropah sejak tiga bulan lalu telah mencetuskan kebimbangan.

Insiden itu dilaporkan kira-kira 10 negara termasuk Lithuania, Latvia, Denmark, Norway, Romania, Poland, Estonia, Jerman dan Perancis.

Iklan
Iklan

Copenhagen berdepan gangguan paling ketara sejak kebelakangan ini hingga menyebabkan ia mengenakan larangan sementara terhadap kesemua pesawat tanpa pemandu (UAV) komersial pada Isnin.

Selain itu, Kesatuan Eropah (EU) turut melancarkan secara rasmi inisiatif tembok dron di sepanjang sempadan timur dengan Rusia.

Iklan

Pada akhir minggu lalu, pihak berkuasa Lithuania mendakwa sebuah UAV dilihat melintasi negara itu dari Moscow.

Bagi menangani ancaman yang semakin meningkat, pemimpin tertinggi Eropah akan bertemu di Copenhagen pada Rabu untuk menghadiri mesyuarat Majlis Eropah bagi membincangkan isu pertahanan dan konflik Ukraine, disusuli sidang kemuncak Komuniti Politik Eropah pada keesokan harinya.

Iklan

"Kita sedang menghadapi situasi keselamatan yang sukar," kata Menteri Pertahanan Denmark, Troels Lund Poulsen.

Sejak kebelakangan ini, rantau Eropah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga kerana insiden pencerobohan dron dan jet pejuang Rusia di ruang udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Pakatan ketenteraan diketuai Amerika Syarikat (AS) itu memaklumkan mereka sedang memperkukuhkan benteng pertahanan di sekitar Laut Baltik.

Baru-baru ini, NATO melancarkan misi 'Sentri Timur' untuk meningkatkan pertahanan di sayap tersebut setelah dron milik Rusia didakwa menceroboh ruang udara Poland.

Jerman juga mengambil langkah segera dengan menyediakan 'sistem antidron' atas permintaan Denmark bagi mengesan kehadiran UAV menggunakan teknologi radar, optik dan akustik. - Agensi