Stesen minyak sedia kaunter BUDI95 mudahkan pengguna

Iklan
Seorang pekerja di stesen minyak menyusun maklumat berkaitan BUDI95 di kaunter khas bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat.

ALOR SETAR - Kebanyakan stesen minyak di sekitar bandar raya ini hingga ke Kota Sarang Semut mengambil inisiatif membuka kaunter penerangan khusus bagi memudahkan orang ramai memahami pelaksanaan inisiatif subsidi petrol RON95 di bawah program Budi Madani (BUDI95).

Tinjauan Sinar Harian mendapati langkah itu bukan sahaja mengurangkan kekeliruan pelanggan, malah membantu melancarkan urusan pembelian petrol bersubsidi menggunakan kad pengenalan masing-masing.

Iklan
Iklan

Terdapat juga stesen minyak yang menyediakan seorang pekerja di pam untuk membantu orang ramai yang belum mahir selok belok menggunakan MyKad untuk menikmati harga subsidi.

Pemerhatian juga mendapati tiada pelanggan beratur panjang di kaunter luar mahupun dalam termasuk jumlah kenderaan adalah seperti biasa.

Iklan

Pemilik sebuah stesen minyak Petronas di Tandop berkata, pihaknya menyediakan meja penerangan di luar premis dengan seorang pekerja ditugaskan untuk memberi penerangan segera kepada pengguna.

“Ramai yang masih kurang jelas. Jadi kita sediakan seorang pekerja untuk terangkan di luar sebelum pelanggan terus ke kaunter. Cara ini elak kesesakan di kaunter pembayaran,” katanya.

Iklan

Menurutnya, sistem yang mula dilaksanakan sejak Sabtu lalu berjalan lancar tanpa sebarang gangguan teknikal.

“Namun kekeliruan masih timbul terutama dalam kalangan warga emas yang menyangka kerajaan memberikan 300 liter petrol secara percuma setiap bulan.

“Sebetulnya, kuota itu adalah had maksimum untuk menikmati harga subsidi RM1.99 seliter. Jadi kita perlu jelaskan kepada mereka,” tambahnya.

Menurutnya, pengguna di stesen minyak Petronas pula didapati lebih mudah menguruskan transaksi menerusi aplikasi Setel yang hanya memerlukan pengesahan akaun sebelum terus mengisi minyak tanpa perlu menyerahkan kad pengenalan di kaunter.

Pengurus sebuah stesen minyak di Alor Setar pula memaklumkan, rata-rata pengguna menerima baik kaedah baharu itu, malah berasa gembira apabila dimaklumkan mengenai penjimatan berganda yang dinikmati.

Roslina menunjukkan resit transaksi BUDI95 yang menjimatkan perbelanjaan petrol.

“Jika ada beratur pun, mereka tidak marah kerana faham ini sistem baharu. Ada juga yang terlupa tidak menunjukkan kad pengenalan, jadi pekerja akan ingatkan supaya mereka dapat nikmati harga murah,” jelasnya.

Tambahnya, jumlah kenderaan juga tidak bertambah secara mendadak disebabkan pengguna maklum bahawa pemberian ini bukan dalam tempoh tertentu.

“Pada waktu puncak, biasanya bermula jam 6.30 pagi hingga 10.00 pagi sahaja kereta penuh dan menjelang tengah hari seperti hari biasa,” ujarnya.

Beberapa pengguna yang ditemui sangat gembira dan berpuas hati dengan sistem yang digunakan kerana mudah dan praktikal.

Seorang pelanggan, Mustafa Kamal Mansor, 46, berpuas hati dengan sistem tersebut kerana prosesnya cepat dan tidak membebankan.

“Cara isi minyak pun mudah, harga pula murah, memang jimat banyak. Ini kali pertama saya isi minyak guna MyKad, saya bayar RM3 untuk motosikal dan dapat lebih berbanding sebelum pelaksanaan BUDI95,” kata pesawah dari Batu Enam, dekat sini.

Seorang pekerja di sebuah pasar raya, Muhammad Nazirul Najmi Aziz, 28, gembira dengan penjimatan yang diperoleh berikutan menggunakan kereta untuk berulang ke tempat kerja dari Kuala Kedah ke rumahnya di Tandop.

“Bila tiba di kaunter pembayaran, pekerja stesen minyak terlebih dahulu minta kad pengenalan sebelum maklumkan untuk dapatkan harga subsidi.

“Dapatlah berjimat sebab setiap hari gunakan kereta ulang alik ke tempat kerja, sekurang-kurangnya duit yang dijimatkan itu boleh beli barang lain,” katanya.

Sementara Roslina Harun, 50, teruja apabila pertama kali mengisi minyak pada harga subsidi tanpa wujud sebarang masalah.

“Saya dengar ada yang alami masalah sebab cip kad pengenalan rosak dan lupa bawa kad pengenalan. Syukur bila disahkan saya layak dan transaksi lancar.

“Saya bayar RM20 dan dimaklumkan dapat isi minyak bernilai RM26.13 harga tanpa subsidi, kerana harga seliter hari ini RM2.60. Bermakna penjimatan sebanyak RM6.13, kuantiti petrol pun dapat lebih,” kata pekerja swasta dari Alor Setar itu.