JOHOR BAHRU – Warga Singapura akur dengan arahan kerajaan Malaysia yang hanya membenarkan rakyat tempatan mengisi petrol subsidi RON95 di stesen minyak di negeri ini.
Seorang penjawat awam dari republik itu, Fazli Khrudin, 43, berkata, papan tanda larangan yang dipamerkan di stesen minyak sudah cukup jelas untuk difahami.
“Daripada papan tanda yang dipamerkan, hanya rakyat Malaysia boleh isi minyak yang warna kuning (pam RON95). Jadi memang jelaslah.
“Kami orang Singapura faham hanya boleh isi RON97, bagi saya memang tak ada masalah sebab arahan ini sudah lama dikuatkuasakan," ujarnya.
Sementara itu, bagi jurutera yang mahu dikenali sebagai Lim, peraturan yang ditetapkan kerajaan Malaysia bagi kenderaan asing mengisi petrol RON97 perlu dipatuhi.
"Terdapat banyak papan tanda larangan warga asing isi RON95 kerana ia khusus untuk rakyat Malaysia.
"Sudah tentu kami memahaminya dan akan ikut dengan peraturan tersebut," katanya.
Kerajaan Malaysia sebelum ini menegaskan bahawa pengisian petrol RON95 bersubsidi hanya dikhaskan untuk rakyat tempatan manakala warga asing diwajibkan menggunakan bahan api tanpa subsidi.
Langkah itu bagi memastikan subsidi dinikmati sepenuhnya oleh rakyat Malaysia selain mengelak ketirisan rentas sempadan.
Difahamkan terdapat 272 stesen minyak berada di Johor Bahru yang merupakan daerah berdekatan dengan Singapura.