KUANTAN - Seorang wanita yang menggunakan wang simpanan peninggalan suami dan simpanan sendiri untuk melabur dalam satu skim pelaburan rupanya terpedaya dengan pulangan lumayan yang dijanjikan.
Wanita berusia 51 tahun itu telah membuat 12 transaksi bayaran modal pelaburan melalui tujuh akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM223,000.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa hanya menyedari ditipu setelah dimaklumkan oleh pihak bank bahawa akaun penerima dikenal pasti terlibat dengan sindiket penipuan.
Menurutnya, susulan itu mangsa tampil membuat laporan polis di sebuah balai di Bentong.
"Berdasarkan laporan, suri rumah itu mendakwa telah menerima panggilan daripada seorang individu (suspek) menawarkan peluang pelaburan menggunakan nama sebuah syarikat dengan kadar pulangan tinggi.
"Terpedaya dengan tawaran tersebut, mangsa memberikan maklumat peribadi sebelum diarahkan memuat turun aplikasi mudah alih melalui pautan yang dihantar oleh suspek seterusnya melakukan transaksi bayaran," katanya melalui kenyataan pada Selasa.
Yahaya berkata, orang ramai dinasihatkan agar lebih berwaspada dengan tawaran pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat terutamanya yang dipromosikan melalui media sosial.
"Sebelum melakukan sebarang transaksi, sebaiknya buat semakan awal melalui portal rasmi https://semakmule.rmp.gov.my bagi mengenal pasti akaun bank yang mempunyai rekod penipuan.
"Orang ramai yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan dinasihatkan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997," katanya.