KUALA LUMPUR –Taktik licik sindiket penyeludupan tayar akhirnya terbongkar apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan mereka membawa masuk tayar tanpa ikrar sah selain menggunakan dokumen palsu bagi mengaburi pihak berkuasa.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, helah itu dikesan menerusi Ops Grip hasil serbuan di 23 lokasi berasingan di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor, semalam.
Beliau berkata, modus operandi berkenaan membabitkan kemasukan tayar yang tidak diikrarkan sepenuhnya ketika proses import, malah dokumen yang digunakan turut dipalsukan sehingga tidak menggambarkan jumlah atau jenama sebenar.
"Maknanya ada tayar yang masuk tanpa ikrar sah, selain wujud dokumen palsu, kita juga sedang siasat jumlah sebenar dan juga asal-usul tayar kerana ada kemungkinan ia datang dari sebuah negara tertentu yang tidak boleh didedahkan ketika ini.
"Bagi memastikan ketulenannya, kita turut meminta pihak tertentu melakukan ‘test purchase’ kerana ada tanda-tanda produk ini mungkin tidak tulen," katanya.
Beliau berkata selepas menghadiri satu program bual bicara pada Selasa.
Katanya, SPRM turut menerima aduan rasmi daripada sebuah syarikat pengeluar tayar dari Itali berhubung dakwaan penyeludupan tayar serta pemalsuan dokumen import-eksport yang berlaku sejak beberapa tahun lalu.
"Aduan itu menjadi asas siasatan bersama Pasukan Petugas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF) yang kini sedang meneliti semua aspek termasuk dokumen Kastam, penipuan ikrar, ketulenan tayar dan implikasi cukai negara.
"Setakat ini, seramai tujuh individu telah dirakam keterangan, bagaimanapun tiada tangkapan dibuat lagi kerana siasatan perlu melalui prosedur biasa terlebih dahulu," katanya.
Sinar Harian melaporkan SPRM turut membekukan beberapa akaun persendirian dan syarikat berjumlah RM70 juta yang dipercayai terbabit dengan kegiatan itu.
Menurut sumber, kerajaan dianggarkan mengalami kerugian hasil cukai mencecah RM350 juta sejak tahun 2020 akibat kegiatan penyeludupan tayar berkenaan.
Ops Grip dikendalikan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Serbuan berkenaan membabitkan syarikat pengimport tayar, gudang dan kontena penyimpanan tayar yang dipercayai menjadi pusat penyimpanan barangan seludup terbabit.