Lesen tamat, cip rosak, tertinggal IC ragam hari pertama BUDI95

Iklan
Ahmad (kiri) membantu pekerjanya melayani pelanggan bagi memastikan semuanya berjalan lancar sempena hari pertama pelaksanaan sistem BUDI95 melibatkan pengguna biasa. Foto: SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

KUALA KRAI - Lesen memandu tamat tempoh, cip rosak serta tertinggal kad pengenalan merupakan antara ragam orang ramai pada hari pertama pelaksanaan sistem Budi Madani RON95 (BUDI95) yang melibatkan pengguna biasa.

Bagaimanapun, tinjauan Sinar Harian di 13 stesen minyak bermula dari Labok, Machang sehingga ke Laloh, Kuala Krai mendapati aktiviti jualan berjalan lancar.

Iklan
Iklan

Ahmad (kiri) membantu pekerjanya melayani pelanggan bagi memastikan semuanya berjalan lancar sempena hari pertama pelaksanaan sistem BUDI95 melibatkan pengguna biasa. Foto: SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

Rata-rata pengguna tidak mengalami kesukaran kerana pekerja di stesen minyak cekap mengendalikan situasi, serta sistem BUDI95 tidak mengalami sebarang gangguan.

Iklan

Selain itu, antara ragam lain yang turut dikesan ialah terdapat segelintir pengguna yang enggan menyerahkan kad pengenalan mereka, dan ada yang sanggup membayar harga tanpa subsidi.

Gambar dari kiri: Mohd Asri, Nik Mohd Zaidi

Iklan

Guru Fardu Ain, Mohd Asri Mohd Nor, 50, berkata, pada awalnya beliau menyangka sistem BUDI95 kelihatan rumit, namun selepas mengalaminya sendiri, ia sebenarnya mudah.

"Sekejap sahaja, tunjuk kad pengenalan, bayar jumlah minyak petrol yang hendak dibeli, tidak sampai dua minit selesai dan sudah boleh menikmati subsidi yang ditawarkan oleh kerajaan.

"Alhamdulillah, sebagai rakyat Malaysia, saya bersyukur dapat menikmati subsidi yang ditawarkan. Dengan cara ini juga dapat mengelakkan hak rakyat disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab," katanya.

Bagi seorang buruh, Nik Mohd Zaidi Zaki, 40, dia sedikit kekok dengan kaedah baharu ini, namun mujurlah pekerja stesen minyak banyak membantu memberi penerangan.

"Awalnya saya panik, kerana kebiasaan isian penuh minyak motosikal jenis Honda Wave sekitar RM6, tetapi tadi tengok di meter keluar harga RM7.84.

"Apabila saya tanya pekerja, mereka memaklumkan saya hanya perlu bayar RM6 seperti biasa kerana baki selebihnya itu adalah subsidi daripada kerajaan. Lega, ingatkan kena tambah duit lagi," katanya.

Pekerja stesen minyak memberi penerangan kepada pengguna setiap kali aktiviti pembelian dilakukan, bagi mengelak kekeliruan berhubung sistem BUDI95. Foto: SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

Sementara itu, menurut pemilik stesen minyak di Labok, Machang, Ahmad Omar, 60, isu yang paling kerap berlaku dalam kalangan pengguna ialah lesen memandu tamat tempoh, cip rosak serta tertinggal kad pengenalan.

Menurutnya, pekerja memainkan peranan penting untuk memberi penerangan kepada pengguna serta mengingatkan mereka supaya memastikan kad pengenalan ditukar jika rosak, dan lesen memandu diperbaharui.

Bagi seorang pekerja di stesen minyak di Laloh, Kuala Krai yang dikenali sebagai Nabila pula, ramai lagi dalam kalangan pengguna tidak memahami pelaksanaan sistem BUDI95.

Ujarnya, sebagai pekerja mereka perlu memberi penerangan dan berdepan dengan pelbagai kerenah pengguna.

"Di sini (Laloh), isu yang paling banyak kami hadapi ialah ramai yang tidak membawa atau telah kehilangan kad pengenalan.

"Sehingga ada yang sanggup berpatah balik, malah ada juga yang tidak menghiraukan BUDI95 dan terus membayar pada harga biasa tanpa banyak soal," katanya.

Menurutnya, setakat beberapa hari pelaksanaan BUDI95 dan kemuncaknya hari ini (Selasa), sistem berjalan dengan lancar.