GSF berdepan risiko pemberi maklumat

Iklan
Konvoi Global Sumud Flotilla mungkin berdepan halangan termasuk pemberi maklumat pro-Israel. (Gambar kecil: Ashwad)

SHAH ALAM – Konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini dalam pelayaran membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza berpotensi berdepan pelbagai bentuk halangan termasuk kemungkinan wujudnya pemberi maklumat oleh pihak tertentu yang mempunyai kaitan dengan Israel.

Ketua Pengarang Astro Awani, Ashwad Ismail berkata, pengalaman lalu membuktikan rejim Zionis akan menegakkan justifikasinya untuk menyekat kemaraan sukarelawan antarabangsa termasuk alasan keselamatan atau menuduh mereka sebagai wakil Hamas.

Iklan
Iklan

“Tidak mustahil ada penyusupan dalaman atau wakil yang sebenarnya bekerja untuk pihak Israel bagi melemahkan misi ini.

“Walaupun sekadar andaian, ia penting dalam perancangan senario kerana sebarang bentuk halangan boleh berlaku.

Iklan

“Tempoh 24 hingga 48 jam akan datang adalah fasa kritikal dan semua aktivis saya pasti sudah bersedia dari segi mental, fizikal dan rohani untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk tindakan ketenteraan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau yang pernah menjadi tawanan tentera Israel dalam tragedi Kapal Mavi Marmara pada 31 Mei 2010 menegaskan, kejadian serangan berdarah terhadap kapal itu menjadi bukti rejim Zionis sanggup melancarkan operasi ketenteraan walaupun kapal sukarelawan tidak membawa senjata.

Iklan

Ashwad juga tidak menolak kemungkinan Israel akan memperluas sempadan laut secara unilateral atau menggunakan naratif propaganda di media sosial untuk menggambarkan aktivis sebagai pengganas bagi ‘menghalalkan’ tindakan keras mereka.

Bagaimanapun menurutnya, sukarelawan dan aktivis yang menyertai GSF telah menjalani latihan rapi serta memiliki semangat kental untuk menembusi zon merah dengan harapan bantuan kemanusiaan dapat sampai ke bumi Gaza.

“Matlamat utama misi ini bukan sekadar menggerakkan flotilla, tetapi menyelamatkan nyawa rakyat Palestin, mendesak dunia menamatkan keganasan Israel dan memperjuangkan kebebasan Palestin.

“Sekiranya misi GSF berjaya menembusi sekatan, ia akan menjadi detik bersejarah dalam perjuangan panjang rakyat Palestin untuk meraih kemerdekaan dan menamatkan penindasan rejim Zionis,” ujarnya.