SUBSIDI petrol Budi Madani RON95 (BUDI95) yang dilaksanakan sepenuhnya mulai hari ini bukan sekadar inisiatif meringankan beban rakyat, tetapi juga dilihat sebagai mekanisme berkesan terhadap usaha membendung pemandu dan penunggang tanpa lesen sah di atas jalan raya.
Hanya rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah sahaja dibenarkan mengakses subsidi untuk membeli petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter.
Tanpa dokumen wajib bagi pengguna jalan raya itu, tidak kira sama ada rakyat tempatan atau warga asing, mereka tidak berhak mendapatkan subsidi itu. Sebaliknya, mereka perlu membeli petrol pada harga pasaran iaitu RM2.60 seliter selepas BUDI95 dilaksanakan.
Bagaimanapun, golongan seperti nelayan kecil, pekebun dan pemilik perahu yang tidak mempunyai lesen memandu sah boleh mengemukakan rayuan untuk menerima manfaat subsidi petrol di bawah program BUDI95.
Berdasarkan maklum balas netizen di media sosial, harga RM2.60 bagi setiap liter petrol RON95 begitu ‘menggerunkan’.
Namun perkembangan semasa ini diyakini boleh mengubah persepsi masyarakat terhadap kepentingan memiliki lesen memandu, melebihi ketakutan terhadap saman atau kompaun semata-mata.
Bagi penulis, inisiatif BUDI95 ini secara tidak langsung akan mendorong rakyat berusia 16 tahun ke atas yang tidak memiliki lesen memandu untuk segera mendapatkannya.
Ini bukan sahaja melayakkan mereka mendapat manfaat BUDI95, tetapi juga secara sah ‘menghalalkan’ mereka untuk berada di atas jalan raya.
Ia juga akan mendorong lebih ramai pemilik lesen yang telah tamat tempoh untuk memperbaharuinya segera, sekali gus mengurangkan lebih 2.4 juta lesen tidak aktif yang direkodkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT).
Bagi remaja bawah umur 16 tahun pula, mesejnya jelas, petrol bersubsidi itu bukan untuk mereka dan belum masanya lagi untuk bebas menunggang atau memandu di atas jalan raya.
Bagi penulis yang layak membeli RON95 pada harga subsidi, BUDI95 setidak-tidaknya akan membuka ruang ke arah penyelesaian isu lesen memandu yang terus berlarutan seolah-olah tiada titik noktahnya.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke baru-baru ini mendedahkan bahawa terdapat sejumlah 2.4 juta pemegang lesen memandu berada dalam status tidak aktif iaitu telah tamat tempoh melebihi tiga tahun, termasuk 1.4 juta yang tidak memperbaharui lesen memandu melebihi 10 tahun.
Bagi penulis, banyak faktor yang menyumbang kepada angka itu, termasuk kemungkinan pemegang lesen meninggal dunia, sakit dan sebagainya.
Persoalannya, berapa ramai yang langsung tiada lesen memandu namun bebas berada di atas jalan raya ketika ini?
Sudah pasti banyak dan ini terbukti berdasarkan kenyataan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) apabila 917,350 saman atas kesalahan memandu tanpa lesen dikeluarkan di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun sejak 2023 hingga Jun tahun ini.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 329,188 kes direkodkan pada 2023, manakala 367,856 kes (2024) dan 220,306 (setakat Jun tahun ini).
Menurut beliau, jumlah itu menunjukkan peningkatan kes setiap tahun, dengan lebih 200,000 kes direkodkan hanya dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataannya sebelum ini turut menzahirkan kebimbangan dengan kes kemalangan maut, terutamanya penunggang motosikal berumur 16 hingga 30 tahun yang mempunyai kaitan dengan ketiadaan lesen memandu serta tidak mematuhi peraturan jalan raya.
Beliau berkata, secara keseluruhannya jumlah kematian penunggang motosikal akibat nahas jalan raya pada tahun 2023 meningkat 10 peratus dengan 4,480 kemalangan maut melibatkan 4,499 jumlah kematian.
Jelas beliau, kemalangan mula berlaku seawal usia muda walaupun syarat memohon lesen bermula 16 tahun kerana pelajar sekolah rendah telah mula menunggang motosikal seawal usia tujuh atau lapan tahun.
Penulis tidak berminat untuk mengulas reaksi positif dan negatif netizen terhadap BUDI95 ini, sebaliknya fokus kepada impaknya terhadap penyelesaian isu lesen memandu.
Segalanya terpulang kepada kita, sama ada mahu mengisi minyak RM2.60 atau segera mendapatkan lesen memandu.
* Nik Amirul Mu’Min Nik Min ialah Ketua Biro Sinar Harian Pahang