Pelaksanaan BUDI95 masuki ujian sebenar

Iklan
Harga petrol RON95 diturunkan kepada RM1.99 seliter bermula 30 September di bawah program BUDI95.

PELAKSANAAN sistem Budi Madani RON95 (BUDI95) memasuki ujian sebenar apabila lebih 16 juta rakyat boleh menebus subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter pada Selasa.

Tarikh itu menguji kecekapan sistem digital yang dibangunkan kerajaan, malah turut dilihat sejauh mana penyelarasan antara stesen minyak, penyedia teknologi, dan agensi pelaksana mampu menangani lonjakan jumlah pengguna serentak.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA, Dr T Saravanan pada Selasa mengingatkan bahawa pengalaman lalu melalui program MyKasih untuk SARA (Sumbangan Asas Rahmah) wajar dijadikan iktibar.

Ujar beliau, ketika itu, kelewatan transaksi dan gangguan teknikal menimbulkan keresahan pengguna.

Iklan

Tidak mustahil situasi serupa berpotensi berlaku pada Selasa jika 'server' (pelayan), sistem pengesahan data atau aplikasi tidak mampu menampung jumlah capaian tinggi.

Dari sudut lain, persediaan awal telah dilakukan oleh kerajaan termasuk melakukan ujian teknikal (stress test) sebelum pelaksanaan penuh bagi mengenal pasti kelemahan sistem.

Iklan

Selain itu, menyediakan pasukan sokongan teknikal 24 jam, khususnya di stesen minyak utama untuk membantu pengguna yang menghadapi masalah pengesahan subsidi.

Jangkaan awal menunjukkan trafik tinggi pada hari pertama akan menjadi cabaran utama, terutama di kawasan bandar besar dengan jumlah kenderaan yang padat.

Namun, jika kerajaan berjaya menguruskan permulaan ini tanpa insiden besar, ia akan meningkatkan keyakinan rakyat bahawa BUDI95 bukan sekadar inisiatif jangka pendek, tetapi satu model pengurusan subsidi petrol yang lebih tersasar, telus dan kalis ketirisan.

Ringkasnya, hari ini adalah ujian sebenar untuk BUDI95. Sama ada ia akan dikenang sebagai pencapaian bersejarah atau sebaliknya banyak bergantung kepada tahap kesediaan kerajaan menangani sebarang kemungkinan teknikal yang timbul.

Pada masa sama, respon rakyat menerusi platform media sosial juga pasti akan menjadi faktor penting kepada kejayaan pelaksanaan BUDI95.