ALOR SETAR – Penduduk dan pelancong di Pulau Langkawi kini boleh menarik nafas lega apabila perkhidmatan ambulans air secara percuma yang menawarkan bantuan untuk membawa pesakit kronik dan jenazah mula beroperasi.
Pengerusi Anak Muda Madani Kedah, Datuk Zuraidi Rahim berkata, perkhidmatan tersebut melibatkan dua unit bot khas lengkap dengan sokongan ambulans darat bagi memastikan pesakit kronik atau jenazah dapat di bawa ke tanah besar dengan selamat.
Menurutnya, langkah tersebut diambil selepas pihaknya menerima banyak rungutan daripada penduduk Langkawi yang sebelum ini terpaksa menyewa bot persendirian dengan kos mencecah RM800 hingga RM2,500 setiap kali mahu membawa pesakit atau jenazah ke Kuala Perlis.
“Selama ini masyarakat terbeban kerana tiada pengangkutan khusus. Ada yang terpaksa guna bot nelayan, selain isu keselamatan dan insurans penumpang yang meragukan.
“Tanggungjawab ini diambil untuk sediakan ambulans air percuma yang boleh digunakan 24 jam, sama ada untuk kes kecemasan, pesakit kronik atau menguruskan jenazah,” katanya semasa dihubungi pemberita pada Isnin.
Perkhidmatan ambulan air itu telah dilancarkan di Jeti Tanjung Rhu Mangrove, Langkawi pada Ahad.
Zuraidi menjelaskan, sebuah bot kecil akan digunakan khusus untuk membawa pesakit, manakala bot lebih besar disediakan bagi pengurusan jenazah.
Kedua-dua bot akan beroperasi hingga ke Kuala Perlis sebelum pesakit atau jenazah dipindahkan ke ambulans darat untuk dibawa ke hospital.
Sementara itu, Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa menyambut baik pelancaran perkhidmatan tersebut kerana ia mematuhi undang-undang laut dan dilengkapi perlindungan insurans.
Katanya, penggunaan ambulans air jauh lebih selamat berbanding bot nelayan atau persendirian yang digunakan sebelum ini.
“Perkhidmatan ini bukan sahaja mematuhi piawaian keselamatan, malah memberi jaminan kepada penumpang dari segi perlindungan insurans dan pengurusan kecemasan,” katanya.