KOTA BHARU – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menzahirkan penghargaan terhadap usaha kerajaan negeri menjadikan Kelantan sebagai negeri pertama yang menguatkuasakan larangan penjualan vape dan shisha sejak 2015.
Baginda bertitah, usaha tegas itu wajar diteruskan demi melindungi generasi muda daripada gejala sosial termasuk penyalahgunaan dadah.
“Beta menyambut baik inisiatif kerajaan negeri yang menjadikan Kelantan sebagai negeri pertama yang menguatkuasakan larangan penjualan vape dan shisha sejak 2015.
“Setinggi-tinggi penghargaan kepada agensi-agensi penguat kuasa yang telah memberikan kerjasama dalam pelaksanaan Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri Kelantan sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-56 di Istana Balai Besar di sini pada Isnin.
Larangan penjualan produk tersebut di Kelantan dikuatkuasakan melalui semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.
Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang diluluskan Parlimen pada Februari lalu baru sahaja mula dikuatkuasakan secara berperingkat di seluruh negara.
Dalam pada itu, Sultan Muhammad V turut menghargai usaha kerajaan negeri memartabatkan generasi belia Kelantan sebagai nadi penggerak masa depan negeri dan negara dengan menekankan pembangunan ekosistem anak muda yang merangkumi kepimpinan, keusahawanan dan teknologi digital.
Baginda turut melahirkan kebimbangan terhadap situasi masyarakat yang terdedah kepada pelbagai pengaruh global serta media sosial yang kadangkala mencetuskan salah faham dan perpecahan.
“Usaha memperkukuh nilai kesantunan, hormat-menghormati dan adab dalam berbahasa perlu sentiasa diperkasakan.
“Hal ini penting agar masyarakat, khususnya generasi muda, terus berpegang kepada nilai murni budaya bangsa meskipun berdepan arus globalisasi yang mencabar,” titah baginda.