Sindiket penyeludupan tayar, pemalsuan dokumen import digempur SPRM

Iklan
Serbuan dilakukan menerusi Ops Grip yang diketuai BOK SPRM.

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggempur sindiket penyeludupan tayar dan pemalsuan dokumen import serta eksport menerusi serbuan di 23 lokasi sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor pada Isnin.

Serbuan menerusi Ops Grip diketuai Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM itu dilakukan dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Iklan
Iklan

Operasi tersebut secara langsung telah menggempur sindiket terbabit yang menyebabkan kerajaan kerugian hasil cukai dianggarkan RM350 juta sejak 2020 hingga tahun ini.

Sumber berkata, serbuan berkenaan menyasarkan syarikat pengimport tayar, gudang serta kontena penyimpanan yang dipercayai terbabit dalam kegiatan haram berkenaan.

Iklan

"Hasil serbuan, SPRM telah membekukan akaun perbankan persendirian dan akaun syarikat berjumlah kira-kira RM70 juta.

"Siasatan juga menumpukan usaha mengesan dan menyita aset lain yang disyaki diperoleh melalui aktiviti penggubahan wang haram, sama ada membabitkan pegawai kastam atau syarikat pengimport tayar," katanya pada Isnin.

Iklan

Katanya, isu tayar terpakai yang tidak menepati piawaian boleh diumpamakan sebagai ‘bom jangka’ kerana menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya dan berpotensi mengundang kemalangan maut.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan serbuan berkenaan.

Jelasnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

"SPRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengaut keuntungan melalui rasuah, pengubahan wang haram dan penyeludupan yang merugikan negara," katanya.