SHAH ALAM - Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan untuk dana harga tetapnya, Amanah Saham Malaysia 3 (ASM 3) sebanyak 4.75 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2025.
Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu dalam satu kenyataan memberitahu, ASM 3 mengisytiharkan pengagihan pendapatan berjumlah RM896.01 juta sekali gus memanfaatkan 717,446 pemegang unit yang kini memiliki 19.16 bilion unit.
“Pengagihan pendapatan sebanyak 4.75 sen seunit mencerminkan keupayaan dana untuk mengekalkan tahap dividen yang sama dengan tahun kewangan sebelumnya, seterusnya mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap prestasi dan kestabilannya.
“Dana ini juga telah mengatasi penanda aras pulangan Deposit Tetap 12 Bulan Maybank pada paras 2.40 peratus sebanyak 235 mata asas bagi tahun kewangan sehingga 24 September 2025,” katanya.
Pencapaian kukuh tersebut amat ketara di sebalik keadaan pasaran domestik yang mencabar dengan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) masih mencatatkan prestasi negatif setakat tahun ini.
Walaupun berdepan dengan ketidaktentuan pasaran, ASM 3 kekal berdaya tahan dan terus memberikan pulangan yang konsisten, mencerminkan kekuatan pendekatan pelaburan berdisiplin dan strategi jangka panjang PNB.
Pengagihan yang diisytiharkan oleh ASM 3 akan dilaburkan semula secara automatik sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Oktober nanti.
Urus niaga ASM 3 di semua cawangan dan ejen ASNB, termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan internet, telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 28 September hingga hari ini.
Pemegang unit boleh melakukan semula urus niaga di portal myASNB (www.myasnb.com.my) atau melalui aplikasi mudah alih myASNB atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara bermula 1 Oktober nanti.
Kempen Pandu Impianmu, Generasi Labur yang sedang berlangsung juga menggalakkan pemegang unit untuk melabur bagi merebut peluang memenangi kereta impian mereka.
Dengan pelaburan minimum sebanyak RM500 dalam mana-mana dana ASNB, pemegang unit berpeluang memenangi hadiah menarik termasuk kereta BMW i4 Gran Coupe (EV), BYD Atto 2 (EV), Ford Ranger XLT Plus dan banyak lagi.