SEREMBAN - Seorang lelaki yang baru dihukum penjara bulan lalu bagi kesalahan berkaitan dadah dijatuhkan hukuman penjara tambahan enam tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan dan menyimpan video seksual mangsa.
Hakim Datin Surita Budin membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Khairul Azhar Mohd Yusof, 33, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan dan pengawasan polis selama setahun selepas selesai menjalani hukuman berkenaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah merogol seorang remaja perempuan berusia 17 tahun enam bulan ketika kejadian pada 28 Mei 2025, jam lebih kurang 12.30 tengah malam di sebuah hotel di Bahau, Jempol.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh didapati dalam milikan dua video bahan penganiayaan seksual mangsa sama di dalam telefon bimbitnya.
Kesalahan itu dilakukan pada 31 Julai 2024, jam lebih kurang 9.30 malam di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, tertuduh telah membawa mangsa yang juga teman wanitanya keluar dan telah memberinya minum arak yang menyebabkan mangsa pening dan mengantuk.
Tertuduh kemudian telah membawa mangsa ke sebuah hotel di Bahau lalu merogol mangsa.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman penjara berjalan serentak dengan hukuman yang sedang dijalaninya sekarang serta memaklumkan mempunyai tanggungan tiga anak dan seorang ibu.
Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni memohon hukuman setimpal kerana ia melibatkan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak serta kesalahan memiliki bahan lucah.
Beliau turut memaklumkan yang tertuduh sedang menjalani hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan bagi kesalahan 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 sejak 1 Ogos lalu.
Mahkamah kemudian menetapkan hukuman penjara enam tahun dari tarikh sabitan pada Isnin dan satu sebatan bagi pertuduhan pertama manakala penjara tiga tahun bagi pertuduhan kedua yang kedua-duanya berjalan serentak.