PARIT - Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dihadapkan ke Mahkamah Majistret Parit pada Isnin atas tiga pertuduhan termasuk mencabul kehormatan seorang wanita orang asli, dua minggu lalu.
Tertuduh, Karisa Karim, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Izalina Rajaai.
Mengikut pertuduhan pertama, anggota yang bertugas di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa berusia 21 tahun dengan niat mencabul kehormatannya di sebuah kebun sawit berhampiran Kampung Asli Chenderong Kelubi, Kampung Gajah kira-kira jam 3.10 pagi pada 21 September 2025.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Karisa didakwa dengan maksud mengaibkan kehormatan mangsa apabila merakam wanita itu yang berada dalam keadaan tidak berseluar menggunakan telefon bimbit sehingga mengganggu kesantunannya.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh yang masih bujang turut berdepan pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap mangsa pada masa dan tempat sama.
Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Ameerul Nazhif Wan Zulfikri menawarkan jaminan RM4,000 bagi setiap pertuduhan.
Tertuduh yang diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Jeyamaran Sandanasamy memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya menanggung ibu yang sudah tua.
"Saya turut dimaklumkan bahawa tertuduh mempunyai masalah anxiety (keresahan) dan pernah mendapatkan rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta," katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 29 Oktober depan untuk sebutan semula kes serta lantikan peguam.