KUALA KRAI - [DIKEMAS KINI] Harga petrol RON95 RM1.99 seliter melalui Program Budi Madani RON95 (BUDI95) kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) mula dirasai penduduk luar bandar pada Ahad dengan proses pengisian berjalan lancar tanpa gangguan internet.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa stesen minyak di Kuala Krai mendapati urusan pengesahan penerima subsidi melalui MyKad mengambil masa kurang seminit, dengan pengesahan dipaparkan di skrin kaunter pembayaran.
Pekebun, Mohd Noor Jusoh, 71, yang menerima STR sejak setahun lalu berkata, beliau menggunakan kenderaan untuk bergerak sebagai aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sangat menghargai inisiatif tersebut.
“Saya guna banyak petrol bagi perjalanan dari Kuala Krai ke Kuala Besut, Tanah Merah dan banyak daerah lagi.
“Datang ke stesen minyak hari ini, operasi tak sampai lima minit pun sudah selesai isi,” katanya ketika ditemui di Stesen Petronas Taman Guchil Jaya di sini.
Seorang lagi penerima, pembantu niaga nasi lemak, Mat Din Mahmud, 60, dari Simpang Tiga, Jelawang, Kuala Krai berkata, beliau perlu ke kawasan berdekatan di Jeli untuk mengisi minyak kerana kampungnya belum mempunyai stesen bahan api.
“Saya keluar ke Jeli untuk cuba sistem ini, rangkaian internet tiada masalah, cuma kampung kami belum ada stesen minyak.
“Sekarang pun tengah bina stesen minyak di Sungai Batu,” katanya.
Bagi peladang kelapa sawit, Nik Ya Deraman, 63, dari Meranto, Gua Musang, inisiatif tersebut mengurangkan kos perjalanan harian ke ladang yang terletak enam kilometer dari rumahnya.
“Saya guna motosikal untuk masuk ladang, kadang-kadang sewa Hilux dua kali sehari melalui laluan berbukit.
“Harga ini memang bantu banyak,” ujarnya.
Sementara itu, Penyelia Petronas Taman Guchil Jaya, Zaleha Ibrahim berkata, operasi pengisian minyak setakat ini berjalan lancar dan sebelum ini hanya berlaku gangguan kecil capaian internet yang tidak melebihi setengah jam.
“Sempena bermulanya BUDI95 ini, kakitangan kami akan berada di setiap pam bagi membantu sahkan kad pengenalan pelanggan supaya pengisian petrol RON95 pada harga subsidi RM1.99 terus lancar,” katanya.
Dalam pada itu, stesen minyak di Pontian terus memastikan kelancaran pengisian minyak subsidi berjalan lancar walaupun berdepan cabaran liputan internet.
Pengurus stesen minyak di Kampung Sungai Naga Api-api, Chong Koon Long, 49, berkata, beliau dan pekerjanya sentiasa bersiap siaga bagi menangani sebarang gangguan teknikal atau insiden luar jangka.
“Kami ada kad bantuan daripada ibu pejabat untuk kegunaan sekiranya talian internet tidak stabil atau sistem tergendala.
“Kami sudah bersedia untuk sebarang kemungkinan pada hari pertama orang ramai boleh menggunakan BUDI95 pada Selasa ini,” katanya ketika ditemui pada Sabtu.
Beliau menambah, seramai 14 kakitangan telah dilatih bagi memastikan proses pengisian minyak subsidi berjalan lancar.
“Setakat semalam dan hari ini, pengisian petrol RON95 kepada anggota polis, tentera serta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) berjalan lancar,” ujarnya.
Bagi penerima STR, Ismail Sagap, 46, proses pengisian sangat mudah kerana hanya perlu menunjukkan MyKad di kaunter pam minyak.
“Hanya perlu tunjuk MyKad, terus boleh membuat tuntutan. Tetapi sebelum itu saya sudah semak kelayakan penerimaan BUDI95 di laman web.
“Semuanya selesai dalam kurang lima minit. Alhamdulillah, ia sedikit sebanyak meringankan beban keluarga dengan pendapatan saya sebagai penjual daging salai di Pulai Sebatang,” katanya.
Seorang lagi penerima STR, peniaga warung Rokiah Ahmad, 55, berkata, proses kali ini mudah dengan hanya menunjukkan MyKad di kaunter bayaran dan dibantu pekerja stesen minyak.
“Saya dari Bukit Gambir, Muar, datang menziarahi adik di Pontian. Hari ini penerima STR boleh menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99.
“Menakjubkan sebab prosesnya cepat dan tidak menyusahkan, cuma tunjuk MyKad,” katanya.
Sementara itu, pemandu lori, Suhaidi Samat, 49, tidak menyangka proses pengisian mudah dan pantas walaupun dilakukan di kawasan luar bandar.
Menurutnya, dengan inisiatif kerajaan itu, beliau dapat menjimatkan perbelanjaan bahan bakar bagi kenderaan yang digunakan.
Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kalangan golongan B40 kini mula menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter berbanding harga pasaran semasa RM2.05 seliter, menerusi inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) yang bermula tengah malam tadi.
Pelaksanaan untuk kumpulan kedua ini menyusuli kejayaan fasa pertama yang melibatkan kira-kira 300,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).