KAJANG -"Kami sudah 10 tahun menanti zuriat, tetapi dalam sekelip mata ALLAH uji kami dengan kehilangan seorang daripada anak kembar."
Itu luahan pilu Amirul Ridzuan Abu Bakar, 39, yang terkilan dengan tindakan pemandu lori sehingga meragut nyawa bayinya, Amir Husayn, dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang, Lebuhraya Kajang Silk (Silk) pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 pagi itu, mangsa tercampak keluar daripada kereta dipandu ibunya, Nurul Husna Khairuddin, 38, selepas dirempuh sebuah lori.
Amirul yang juga seorang pensyarah berkata, ketika kejadian, isterinya bersama dua anak kembar mereka, Amir Husayn dan Amir Hasan serta ibu bapa mentua keluar bersarapan, manakala beliau berada di Kedah atas urusan kerja.
"Sekitar jam 10.59 pagi, saya menerima mesej kecemasan daripada telefon isteri. Saya kemudian cuba menghubunginya beberapa kali namun tidak berjawab sebelum ada orang lain yang menjawab panggilan serta memaklumkan isteri saya terlibat dalam kemalangan," katanya pada Ahad.
Amirul turut berkongsi bahawa sebelum kejadian, anak bongsunya itu menunjukkan perubahan sikap yang luar biasa.
"Kebiasaannya dia makan bersepah, tetapi pagi itu dia makan elok dan bersungguh-sungguh seolah-olah tahu masanya sudah tiba," katanya.
Menurut Amirul, hasil bedah siasat mendapati punca kematian anaknya adalah akibat pendarahan dalaman.
Katanya, dia dan isteri yang mendirikan rumah tangga sejak 2013 dikurniakan kembar lelaki pada 20 Mei tahun lalu selepas hampir sedekad menanti cahaya mata.
"Amir Husayn lahir 15 saat selepas abangnya, Amir Hasan. Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan.
"Kembar seorang lagi masih sihat dan dalam pemantauan pihak hospital. Isteri pula masih bersedih, jadi saya mahu beri ruang kepadanya," katanya.
Amirul mengakui rasa ralat kerana tidak berada di sisi keluarga ketika kejadian akibat hubungan jarak jauh (PJJ).
"Saya sedih melihat keadaan isteri, lebih-lebih lagi apabila mengenang anak kami yang telah pergi.
"Saya serahkan segalanya kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya," katanya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan masalah brek sebuah lori dipercayai menjadi punca kemalangan membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang, Lebuhraya Kajang Silk (Silk) di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pemandu lori itu dipercayai melompat keluar daripada lorinya selepas mendakwa mengalami masalah brek sebelum merempuh tiga kenderaan lain yang sedang menuju ke Plaza Tol Bukit Kajang.
Menurutnya, akibat pelanggaran itu, seorang bayi disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala tujuh mangsa lain cedera dan dirawat di Hospital Kajang, Hospital Serdang dan KPJ Kajang.