SEPANG - [DIKEMAS KINI] Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dijangka berdepan situasi genting susulan kedudukan kapal yang semakin hampir dengan zon kawalan Israel dan berisiko tinggi dihalang ketika menuju ke Gaza.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kebanyakan kapal dijangka memasuki zon kuning kira-kira 300 batu nautika dari bumi Gaza dalam tempoh satu atau dua hari lagi.
Ujar beliau, susulan itu, Kementerian Luar melalui Wisma Putra akan terus memantau rapat perkembangan misi berkenaan dan menyalurkan maklumat terkini kepada keluarga aktivis yang terlibat.
"Ini adalah saat genting kerana risiko kemungkinan berlakunya gangguan atau pintasan oleh pihak Israel sangat besar.
"Sekiranya tiada halangan dalam beberapa hari, kapal-kapal berkenaan akan memasuki zon merah. Berdasarkan pengalaman, flotilla yang cuba menembusi zon merah sebelum ini sering diganggu dan akhirnya dipintas oleh Israel.
"Namun, dengan insiden di Tunisia dan beberapa gangguan lain yang berlaku, tidak mustahil zon kuning juga akan menyaksikan insiden serupa," katanya dalam sidang media di Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Gudang Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Malaysia di sini pada Ahad.
Sebelum ini, Israel menegaskan tidak akan membenarkan Flotilla bantuan memecahkan sekatan laut yang dikenakan kerana Gaza merupakan zon pertempuran aktif dan menuduh kumpulan Hamas mengatur flotilla berkenaan untuk kepentingan politik mereka.
Seramai 34 rakyat Malaysia menyertai misi GSF yang kini berada di perairan antarabangsa berhampiran Greece dan dijangka memasuki zon kuning pada bila-bila masa sebelum dijadualkan tiba di perairan Gaza pada akhir bulan ini.
Mereka merupakan sebahagian aktivis dari 45 negara yang berlayar ke Gaza bagi memecahkan kepungan terhadap enklaf itu, dan cekal berdepan pelbagai rintangan serta ugutan termasuk serangan dron.
Menurut Fahmi, misi kemanusiaan tersebut turut mendapat sokongan beberapa negara Eropah seperti Itali dan Sepanyol yang menyediakan kapal pesisir bagi menjamin keselamatan misi berkenaan.
Ujar beliau, perkembangan itu menunjukkan perubahan besar dalam pendirian antarabangsa terhadap isu Palestin apabila semakin banyak negara mula mengiktiraf Palestin dan mendesak gencatan senjata segera.
"Ini petanda yang penting bahawa suasana dunia sudah berubah. Kita berada dalam saat bersejarah di mana dunia tidak lagi berdiam diri membenarkan Israel melakukan apa sahaja yang mereka mahukan.
"Kerajaan Malaysia antara kerajaan pertama yang memberi sokongan sepenuhnya. Kami akan sentiasa memantau untuk melihat keadaan misi GSF," ujarnya.